Gambar daripada video yang tular mengenai seorang lelaki memakai gelang kuarantin menunggang motosikal di sekitar Padang Serai dekat Kulim. Foto Ihsan PDRM
Gambar daripada video yang tular mengenai seorang lelaki memakai gelang kuarantin menunggang motosikal di sekitar Padang Serai dekat Kulim. Foto Ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli

#taskid sendstory

[email protected]

Kulim: Lelaki ditahan polis selepas video dia menunggang motosikal dan tangan kirinya masih memakai gelang berkenaan tular di Facebook (FB).

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Azhar Hashim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai video lelaki berusia 27 tahun yang berasal dari Padang Serai itu pada 9.49 malam tadi.

Menurutnya, pihaknya dimaklumkan pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim mengenai video yang tular melalui WhatsApp dan Facebook 'Info Cegah Jenayah @Kulim'.

"Hasil siasatan awal mendapati semakan terhadap motosikal yang ditunggangi lelaki itu didaftarkan atas nama abangnya yang beralamat di Padang Serai.

"Anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Padang Serai kemudiannya diarahkan ke alamat rumah berkenaan untuk pemeriksaan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata, lelaki itu dikenakan perintah kuarantin bermula 1 Mei hingga 10 Mei ini.

"Kita akan membuat permohonan untuk pengesahan kuarantin terhadap lelaki berkenaan dan ia akan dirujuk di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kulim.

"Lelaki itu ditahan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) tangkapan Op Covid-19," katanya.

Azhar berkata, siasatan lanjut akan dibuat untuk mengenal pasti lokasi yang dikunjungi suspek serta tujuannya keluar dari rumah.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan mana-mana individu yang diarahkan dikuarantin hendaklah berada di rumah dan tindakan tegas jika ingkar arahan berkenaan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Mei 2021 @ 3:44 PM