PISAU dipercayai digunakan suspek ketika mengejar abangnya selain mengugut untuk tikam. FOTO Ihsan PDRM.
PISAU dipercayai digunakan suspek ketika mengejar abangnya selain mengugut untuk tikam. FOTO Ihsan PDRM.
Zuliaty Zulkiffli


BERANG kerana tidak diberi wang untuk membeli dadah, seorang lelaki bertindak mengejar abangnya dengan pisau sambil mengugut untuk menikamnya.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, suspek berusia 24 tahun kemudian ditahan di hadapan rumah di Desa Keda, Mukim Naga Lilit di Padang Serai, Kulim pada 10 pagi, hari ini.

Menurutnya, penganggur itu ditahan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Padang Serai selepas menerima maklumat daripada Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim.

"Anggota turut merampas sebilah pisau di tepi dinding rumah dipercayai digunakan suspek untuk ugutan jenayah itu.

"Terdahulu, ketika kejadian, suspek yang juga penagih dadah tegar dikatakan memegang pisau dan bercakap sendiri sebelum abangnya memanggil mengajak dia masuk ke dalam rumah.

"Bagaimanapun, suspek bertindak mengejar mangsa sambil berkata 'kalau dapat hang, aku tikam nanti'," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Azhar berkata, siasatan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan gemar mengamuk apabila tiada duit untuk membeli dadah.

Katanya, ahli keluarganya tidak tahan dengan sikap suspek dan laporan dibuat kerana bimbang berlaku kejadian lebih buruk.

"Untuk itu suspek ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai ahli keluarga yang terbabit ketagihan dadah dinasihat supaya mendapatkan bantuan bagi memulihkan mereka sekali gus mengelak kejadian lebih serius," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2020 @ 8:07 PM