Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan (KPM) mengeluarkan maklumat pengoperasian institusi pendidikan bawahnya di seluruh negara bagi sesi persekolahan penggal ketiga 2021/2022 yang dijadualkan bermula 9 dan 10 Januari depan.

KPM dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan murid berkeperluan khas (MBK) di Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (SKPK) dan Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), prasekolah, Tahun 1, Tahun 2, Tahun 6 serta bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT), akan hadir secara bersemuka tanpa penggiliran.

Katanya, murid Tahun 3, Tahun 4 dan Tahun 5 pula akan hadir secara penggiliran dengan semua ketetapan itu turut terpakai kepada murid sekolah swasta serta antarabangsa yang setara sekolah rendah bawah KPM.

Selain itu, menurut KPM, MBK di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendidikan Khas (SMKPK), Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV) dan PPKI juga akan hadir secara bersemuka tanpa penggiliran.

"Pelajar kelas peralihan, Tingkatan 4, Tingkatan 5, Tingkatan 6, prauniversiti, International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP), serta kelas peperiksaan antarabangsa yang setara, akan hadir secara bersemuka tanpa penggiliran sekiranya kadar vaksinasi lengkap dalam kalangan pelajar di institusi terbabit mencapai 90 peratus atau lebih.

"Pengoperasian institusi pendidikan yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih, kekal secara penggiliran. KPM akan mengeluarkan senarai institusi yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus, pada setiap Rabu.

"Mana-mana institusi pendidikan yang mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus, akan dikeluarkan daripada senarai itu dan institusi boleh mula beroperasi pada Ahad atau Isnin minggu berikutnya tanpa penggiliran," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, kehadiran pelajar Tingkatan 1, Tingkatan 2 dan Tingkatan 3 pula secara penggiliran, dan semua ketetapan itu juga terpakai kepada pelajar sekolah swasta serta antarabangsa yang setara sekolah menengah bawah KPM.

Katanya, KPM juga menetapkan sekolah harian dan sekolah swasta, termasuk sekolah ekspatriat yang mempunyai enrolmen kurang 300 murid, untuk beroperasi sepenuhnya dengan kehadiran secara bersemuka tanpa penggiliran.

"Namun, sekolah ekspatriat yang enrolmen melebihi 300 murid, permohonan boleh dikemukakan kepada KPM untuk beroperasi sepenuhnya. KPM akan membuat penilaian sebelum kelulusan diberikan.

"Pelajar Tingkatan 4, Tingkatan 5, Tingkatan 6, prauniversiti, IBDP dan kelas peperiksaan antarabangsa yang setara, akan hadir secara bersemuka tanpa penggiliran.

"Pelajar Tingkatan 1, Tingkatan 2 serta Tingkatan 3 di sekolah berasrama sepenuhnya akan mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR)," katanya.

Selain itu, KPM berkata, pengoperasian Kolej Vokasional bagi pelajar Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Kemahiran Malaysia, Sistem Latihan Dual Nasional dan Diploma Vokasional Malaysia, adalah secara bersemuka tanpa penggiliran bermula 9 Januari depan.

Bagi pengoperasian Kolej Matrikulasi (KM), katanya, pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka akan bermula tarikh itu untuk Program Matrikulasi Sistem Dua Semester serta Program Matrikulasi Sistem Empat Semester.

"Bagi Institut Pendidikan Guru (IPG) pula, semua program pengajian akan memulakan kuliah secara bersemuka mulai 6 Februari 2022, mengikut kalendar akademik sedang berkuat kuasa.

"Hanya pelajar KM dan IPG yang menerima vaksin lengkap dibenarkan kembali ke kolej serta kampus, selaras Garis Panduan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi 3.0," katanya.

KPM turut memaklumkan, murid dibenarkan memakai pakaian yang sesuai, kemas dan sopan jika pakaian seragam sedia ada tidak lagi sesuai dipakai.

Selain itu, ketidakhadiran anak ke sekolah tidak dianggap sebagai satu kesalahan disiplin jika ibu bapa dan penjaga memilih untuk tidak menghantar mereka.

Namun, ibu bapa dan penjaga perlu memaklumkan ketidakhadiran murid kepada pihak sekolah bagi tujuan rekod.

"KPM akan terus memantau dan mengemas kini senarai institusi pendidikan yang terkesan dengan banjir atau dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).

"Maklumat lanjut mengenai pengoperasian institusi terbabit akan dimaklumkan pada 3 Januari ini, selepas mengambil kira kesediaan untuk beroperasi.

"KPM juga menyarankan supaya ketetapan pengoperasian pendidikan ini turut terpakai di semua institusi pendidikan tidak berdaftar dengan KPM yang sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 8:12 PM