Antara barang rampasan daripada suspek samun di Gelang Patah dan Mutiara Rini di Iskandar Puteri semalam. Foto Ihsan PDRM
Antara barang rampasan daripada suspek samun di Gelang Patah dan Mutiara Rini di Iskandar Puteri semalam. Foto Ihsan PDRM
Nurul Amanina Suhaini

Iskandar Puteri: Empat lelaki termasuk seorang konstabel polis ditahan selepas disyaki menyamun warga Nepal di kawasan Gelang Patah dan Mutiara Rini di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menahan kesemua suspek berusia 20 hingga 35 tahun pada 12.10 tengah malam.

Menurutnya, anggota polis berusia 23 tahun itu ditahan bersama tiga yang lain bekerja sebagai buruh binaan, pemandu bas dan pemandu lori tunda.

"Siasatan awal mendapati seorang daripadanya mempunyai tiga rekod jenayah lampau, manakala yang lain tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

"Lima telefon bimbit pelbagai jenama, dua kunci kereta serta alat kawalan jauh, kad bank, kad kuasa polis, sepasang gari, topi 'baseball', pelitup muka warna hitam selain sebuah kereta Toyota Vios dan Honda City turut dirampas.

"Siasatan lanjut masih dijalankan, selain polis percaya dengan tertangkapnya kumpulan ini dapat menyelesaikan beberapa lagi kes samun berkumpulan yang berlaku sepanjang bulan ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 379(A) Kanun Keseksaan dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Katanya, kesemua suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 9 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Mei 2021 @ 10:30 PM