RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular
RAKAMAN yang tular di media sosial. FOTO tular
Izz Laily Hussein


Iskandar Puteri: Polis memohon kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat berhubung insiden seorang lelaki memukul pemandu lori dengan topi keledar di Plaza Tol Tanjung Kupang, Gelang Patah, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin berkata, pihaknya maklum mengenai perkara itu selepas tular video di Twitter memaparkan seorang lelaki membuat kecoh di kawasan berkenaan.

"Siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 6.15 pagi di Plaza Tol Tanjung Kupang menghala ke Singapura.

"Kejadian berpunca daripada teguran pemandu lori kepada suspek yang menunggang motosikal memasuki laluan sama yang dilalui oleh lori di plaza tol berkenaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, sebuah video berdurasi 28 saat tular sejak malam tadi memaparkan lelaki bertengkar dengan pemandu lori sebelum memukul mangsa menggunakan topi keledar.

Lelaki itu turut dilihat menjerit ke arah petugas di plaza tol berkenaan.

Rahmat berkata, suspek kemudiannya beredar selepas ditarik seorang wanita yang dipercayai isterinya.

Beliau meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2023 @ 2:36 PM