FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Samadi Ahmad


Sepang: Empat lelaki ditahan secara berasingan di sekitar Lembah Klang dalam Ops Khas Lejang, baru-baru ini, selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri kereta terbiar di kawasan parkir kondominium dan meleraikan komponen kenderaan terbabit untuk dijual.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dua suspek ditahan 5 Disember lalu di Cyberjaya, manakala dua lagi suspek ditangkap secara berasingan kelmarin di Klang dan di sini.

Katanya, penahanan keempat-empat suspek itu membolehkan polis merampas 23 komponen kenderaan seperti pintu, bonet dan bampar, selain sebuah lori tunda serta rangka kereta Proton Satria, Gen-2 dan Wira.

"Suspek berusia antara 26 hingga 40 tahun itu membabitkan pengurus bangunan, pemilik bengkel, pemilik premis barang lusuh dan pemandu trak tunda.

"Hasil siasatan, suspek mengaku mencuri enam kereta di sekitar Cyberjaya dan komponen kenderaan yang dileraikan dijual di kedai alat ganti kenderaan, manakala rangka kereta dijual di kedai besi buruk," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis daerah Sepang di sini, hari ini.

Katanya, kumpulan suspek ini melakukan jenayah itu sejak dua bulan lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2022 @ 3:08 PM