Siti Rohana Idris


Tumpat: Niat untuk beramal di bulan Ramadan menyebabkan pengusaha Roti John di Kampung Semat Jal, di sini memberi juadah itu secara percuma kepada wanita mengandung dan orang kurang upaya (OKU).

Inisiatif itu dilakukan Nurul Mahirran Zulkifily, 35, sebagai 'saham' di bulan mulia dalam masa yang sama memberi peluang kepada dua golongan itu merasai Roti John sebagai juadah berbuka puasa.

Nurul Mahirran yang sebelum ini mengusahakan gerai burger bersama suaminya, Mohamad Faizul Pauzai, 33, berkata, selain wanita mengandung dan OKU, Roti John juga akan diberi secara percuma kepada seorang pembeli pertama setiap hari.

"Saya mengambil pendekatan sebegini untuk memberi peluang kepada dua golongan ini yang mungkin ada dalam kalangan mereka berkeinginan merasai Roti John.

"Jika tidak keberatan mereka boleh menyertakan bukti sama ada kad pemeriksaan bulanan (ibu mengandung) atau kad OKU kerana kami ingin memberikan kepada orang yang berlainan.

"Jika OKU yang tidak dapat datang sendiri ke gerai kami, mereka boleh menghantar wakil untuk datang mengambil," katanya ketika ditemui di gerainya di sini, hari ini.

Nurul Mahirran berkata, jika sebelum ini dia berniaga pelbagai jenis air di bazar Ramadan, tapi disebabkan pandemik Covid-19 yang menyebabkan bazar dibatalkan, dia memutuskan untuk membuka gerai berhampiran rumahnya itu.

Menurutnya lagi kira-kira 150 Roti John dengan inti daging dan ayam kisar disediakan setiap hari dengan resepi yang diolah sendiri.

"Setakat ini sambutan yang diterima agak menggalakkan dan dengan harga yang berpatutan ditawarkan iaitu serendah RM5 hingga RM7. Alhamdulillah, masih sedikit untung," katanya.

Sementara itu, seorang ibu mengandung, Nik Nor Syaza Arina Nik Ami Zamri, 22 dari Kampung Kepulau, menyifatkan sumbangan Roti John secara percuma itu satu pendekatan yang baik terutama di bulan Ramadan yang menuntut umat Islam bersedekah.

Dia yang dijangka melahirkan anak kedua Ogos ini berkata, dia singgah ke gerai terbabit untuk membeli air dan burger sebagai juadah sampingan untuk berbuka puasa.

"Kehadiran saya hari ini agak bernasib baik kerana dapat merasa Roti John percuma dan saya harap pendekatan ini dapat dilakukan peniaga lain yang memberi peluang kepada mereka yang tidak berkemampuan untuk menikmati juadah berbuka puasa dengan hidangan lain dari hari biasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 3:52 PM
NURUL Mahirran memberi Roti John secara percuma kepada ibu mengandung.FOTO Siti Rohana Idris
NURUL Mahirran memberi Roti John secara percuma kepada ibu mengandung.FOTO Siti Rohana Idris