ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah rumah di Kampung Bahagia, Teluk Intan. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba memadam kebakaran sebuah rumah di Kampung Bahagia, Teluk Intan. FOTO Ihsan JBPM
Noor Hidayah Tanzizi


Teluk Intan: Suami isteri warga emas tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka bersama sebuah kereta dan dua motosikal musnah terbakar di Kampung Bahagia, di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 5 petang itu, suami isteri berusia 60-an terbabit berjaya menyelamatkan diri sebaik menyedari api mula membakar bahagian atas rumah dua tingkat berkenaan.

Difahamkan, lelaki warga emas yang sukar bergerak itu terpaksa dipapah keluar isterinya sebelum kediaman mereka musnah terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan Mohd Ismail Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.06 petang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi pihaknya mendapati api sedang marak membakar rumah dua tingkat yang struktur binaannya separa batu dan kayu.

"Bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak dalam tempoh 30 minit.

"Rumah berkenaan musnah terbakar 80 peratus, manakala kereta Perodua Axia dan dua motosikal pula terbakar 90 peratus," katanya di sini, hari ini.

Mohd Ismail berkata, operasi itu membabitkan seramai 22 anggota daripada BBP Teluk Intan dengan turut dibantu BBP Hutan Melintang dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan.

Beliau berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 April 2021 @ 11:53 PM