ANGGOTA bomba memeriksa keadaan rumah mangsa selepas kebakaran di di Lorong Haji Da, Kampung Che Kundur, Batu Buruk, Kuala Terengganu, petang semalam. (Gambar kecil) Fatin Shuhada dan bayinya, Nur Ayra Miqayla. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
ANGGOTA bomba memeriksa keadaan rumah mangsa selepas kebakaran di di Lorong Haji Da, Kampung Che Kundur, Batu Buruk, Kuala Terengganu, petang semalam. (Gambar kecil) Fatin Shuhada dan bayinya, Nur Ayra Miqayla. FOTO ZATUL IFFAH ZOLKIPLY
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seorang wanita nekad meredah masuk ke dalam rumahnya yang terbakar demi menyelamatkan bayinya yang tidur di dalam buaian dalam kejadian di Lorong Haji Da, Kampung Che Kundur, Batu Buruk, di sini, petang semalam.

Fatin Shuhada Azmi, 28, dan bayinya, Nur Ayra Miqayla Mohamad Shazriel Anuar, 16 bulan, antara 17 mangsa yang terselamat dalam kebakaran dua rumah pada 6 petang.

Fatin Shuhada berkata, kejadian berlaku ketika dia mengemas rumah sementara anaknya itu sedang tidur di dalam buaian di ruang tamu sebelum dia terhidu bau asap.

Katanya, dia pada mulanya menyangka jirannya membakar sampah sebelum dikejutkan dengan jeritan ibu mentuanya, Fazrida Jusof, 54, yang tinggal berhampiran menyuruhnya keluar kerana rumah terbakar.

"Saya ternampak kepulan asap tebal di dapur dan nekad meredah asap tebal untuk menyelamatkan anak yang tidur di dalam buaian.

"Alhamdulillah, ibu mentua yang ketika itu berehat di hadapan rumah ternampak api dari arah dapur lalu menjerit menyuruh kami keluar segera," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba Rozizah Abni Hajar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 6.04 petang dan tiba di lokasi 6.12 petang.

Beliau berkata, empat jentera dari BBP Kuala Terengganu dan dibantu BBP Jalan Kota bersama 24 anggota tiba di lokasi untuk memadam kebakaran.

Katanya, api sedang marak membakar kediaman dua tingkat separa kekal itu ketika pihaknya tiba di lokasi kejadian.

"Kami mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawal api daripada merebak ke rumah berhampiran.

"Kebakaran itu menyebabkan sebuah rumah musnah 100 peratus manakala sebuah lagi musnah hampir 30 peratus.

"Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2020 @ 12:02 PM