ANGGOTA bomba memadam kebakaran dua rumah di Jalan Pasar, Teluk Intan. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba memadam kebakaran dua rumah di Jalan Pasar, Teluk Intan. FOTO ihsan bomba
Noor Hidayah Tanzizi


SEORANG lelaki ditemui rentung dalam kebakaran dua rumah di Jalan Pasar, Teluk Intan, hari ini.

Mangsa, Or Beng Kiong, 52, ditemui rentung dalam bilik tidur salah sebuah rumah berkenaan dipercayai terperangkap ketika kebakaran berlaku.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.23 pagi sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi.

Menurutnya, operasi turut mendapat bantuan daripada BBP Hutan Melintang dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Teluk Intan.

“Sebaik tiba di lokasi bomba mendapati kebakaran membabitkan dua rumah kelas B musnah terbakar 90 peratus.

“Terdapat seorang mangsa ditemui rentung dan operasi ‘overhaul’ sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Mac 2020 @ 11:54 AM