Rosliza Mohamed


Rantau Panjang: Malang buat 14 keluarga membabitkan 51 orang apabila kediaman mereka di Kampung Lubok Stol, di sini musnah dalam kebakaran, hari ini.

Kejadian berlaku pada 4.30 pagi ketika semua mangsa sedang tidur. Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Seorang mangsa, Zaleha Daud, 64, berkata, ketika kejadian dia tidur di tingkat atas rumah bersama cucu perempuan, Sera Nadia Saifulizam, 22, manakala anaknya, Zulilan Abdul Latif, 44, di tingkat bawah.

"Makcik sedar berlaku kebakaran sebaik mendengar orang menjerit, ‘api’ dan segera mengejutkan cucu dan anak untuk menyelamatkan diri.

"Sejurus keluar, api merebak dengan cepat dan membakar keseluruhan rumah dan kediaman berhampiran," katanya yang tinggal sehelai sepinggang.

Meskipun sedih dengan kejadian berlaku, dia bersyukur kerana terselamat dan tiada ahli keluarganya mengalami kecederaan.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Mohd Adni Ibrahim berkata, 29 anggota dengan tiga jentera ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 4.59 pagi tadi.

"Dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang dibantu satu dari BBP Pasir Mas. Kebakaran merebak cepat berikutan kediaman separuh kekal.

"Sebanyak 14 unit terbakar, namun kita berjaya menyelamatkan lapan rumah daripada menerima nasib sama.

"Setakat ini punca kerugian dan kebakaran masih dalam siasatan," katanya yang memberitahu api padam sepenuhnya pada 11.20 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 September 2016 @ 2:55 PM
KEADAAN rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Lubok Stol. FOTO Zaman Huri Isa
KEADAAN rumah yang musnah dalam kebakaran di Kampung Lubok Stol. FOTO Zaman Huri Isa