NORAZLINA bersama anak sulungnya Xara Delisya Noorfahme Izwan. FOTO Ihsan  Norazlina Mohd Yusof.
NORAZLINA bersama anak sulungnya Xara Delisya Noorfahme Izwan. FOTO Ihsan Norazlina Mohd Yusof.
Hajar Umira Md Zaki


Rawang: Siapa sangka, selepas terbabit kejadian lif terhempas 10 tahun lalu, wanita ini masih diberi peluang untuk menjalani kehidupan seperti biasa dan dikurniakan tiga anak.

Mengimbau kembali tragedi buruk yang menimpanya, Norazlina Mohd Yusof, 35, berkata, kejadian itu menyebabkannya trauma dan tidak akan menggunakan lif.

"Sampai sekarang, saya tidak pernah menggunakan lif. Sekiranya ada eskalator, saya tetap akan gunakan eskalator, namun kalau tiada pilihan saya naik lif dan menutup mata.

"Sekarang kaki saya pendek sebelah dan akan memberi kesan pinggang yang mana selalu rasa sakit," katanya ketika dihubungi Harian Metro, di sini.

Norazlina berkata, kejadian terbabit berlaku ketika dia mengandungkan anak sulung yang berusia tujuh bulan.

Menurutnya, akibat kejadian itu, doktor di Hospital Selayang mengesahkan jantung anaknya terhenti selama 20 minit.

"Pada masa itu, kandungan tidak bergerak dan tiada tindak balas dalam 20 minit, namun Alhamdulillah apabila periksa sekali lagi baru ada degupan jantung.

"Saya terpaksa bersalin awal kerana doktor ingin membuta pemeriksaan lanjut terhadap anak termasuk pada bahagian otak atau tulang belakang. Alhamdulillah anak saya selamat dan tiada apa-apa kecederaan," katanya.

Menurutnya, anaknya, Xara Delisya Noorfahme Izwan, 10, membesar dengan baik dan sangat memahami apabila dia memerlukan bantuan kerana dia tidak boleh berdiri lama.

Norazlina berkata, susulan kemalangan itu dia telah mengalami patah kaki dan mengambil masa yang lama untuk berjalan semula.

"Doktor beritahu saraf saya rosak dan harapan untuk berjalan semula agak tipis dan saya sangat sedih pada masa itu.

"Pelbagai cara saya ikhtiar dari rawatan moden, pergi fisioterapi dan rawatan kampung, saya bersyukur kerana dapat berjalan semula selepas tujuh bulan," katanya yang kini pemegang kad orang kurang upaya OKU).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 1:10 PM