Nor Fazlina Abdul Rahim


"TOLONG jangan kecam anak saya tanpa usul periksa, anak saya pulang ke kampung untuk bersalin, bukannya semata-mata menyambut Aidilfitri."

Demikian luahan Norazlina Abdul Rahim, 50, iaitu ibu kepada wanita hamil yang positif Covid-19 dari Kuala Krai ketika mengulas kepulangan anaknya mendapat kecaman daripada netizen.

Norazlina berkata, anaknya yang berusia 32 tahun mempunyai surat kebenaran untuk pulang ke kampung dan dijadualkan bersalin pada 19 Jun nanti.

"Anak saya pulang untuk bersalin memandangkan usia kandungan sudah 35 minggu. Untuk bersalin di Ampang, Kuala Lumpur agak sukar kerana suami anak saya bekerja dan mereka juga mempunyai anak yang masih kecil berusia tiga tahun.

"Sejak berita mengenai anak saya tular, ramai yang mengecam tindakan anak saya pulang ke kampung, sedangkan mereka tidak tahu anak saya mempunyai alasan kukuh untuk pulang.

"Pada mulanya anak saya agak tertekan sehingga terpaksa nyahaktifkan akaun Facebook untuk sementara waktu. Namun kini keadaannya kembali stabil selepas saya dan suami memujuk supaya bertenang dan tidak mengendahkan kecaman itu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, anaknya sendiri agak sukar untuk menerima berita apabila pihak hospital menghubungi memaklumkan dia positif Covid-19 kerana sepanjang di Kuala Lumpur, anaknya tidak ke mana-mana melainkan keluar untuk membuat pemeriksaan di klinik kesihatan.

"Namun saya sentiasa menasihatkan anak supaya menerima perkara ini dengan hati terbuka. Syukur alhamdulillah sehingga kini anak saya dalam keadaan sihat dan kini dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

"Malah, pagi ini saya sempat 'video call' (panggilan video) dengan anak saya dan setakat ini keadaan anak saya dalam keadaan baik.

"Namun, doktor memaklumkan mungkin perlu bersalin secara pembedahan memandangkan anak saya positif Covid-19," katanya yang mereka sekeluarga kini dikuarantin selama dua minggu.

Akhbar melaporkan, wanita hamil yang positif Covid-19 di Kelanyan, dikesan melakukan perjalanan rentas negeri dari Ampang yang berstatus zon merah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, wanita itu hanya disahkan positif Covid-19 apabila berkunjung ke klinik kesihatan ibu dan anak di Kelantan untuk menjalani rutin pemeriksaan.

Berita berkaitan:

  • Kes Covid-19 baru di Kelantan satu tragedi
  • Wanita mengandung bawa pulang Covid-19 ke Kelantan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2020 @ 12:53 PM