Nor Fatin Shahira mendukung adiknya sambil menemani ibunya yang terlantar akibat komplikasi ketika bersalin Mac lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Nor Fatin Shahira mendukung adiknya sambil menemani ibunya yang terlantar akibat komplikasi ketika bersalin Mac lalu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Rohana Idris


SEJAK dilahirkan hujung Mac lalu, bayi perempuan ini belum pernah mendapat belaian dan setitik pun susu ibu.

Norazlina Hasan, 42, yang terlantar atas katil akibat komplikasi ketika melahirkan bayi yang diberi nama Nor Amalina Eliya Ibrahim yang kini berusia tiga bulan 10 hari hanya mampu memandang bayi itu sambil berlinangan air mata.

Ketika melahirkan anak bongsunya itu, Norazlina mengalami pelbagai komplikasi termasuk kejang seluruh tubuh sehingga menyebabkan oksigen gagal sampai ke otak dan akhirnya dia terbaring kaku sehingga kini.

Tanggungjawab menguruskan wanita dan bayi perempuannya itu kini digalas sepenuhnya anak sulung, Nor Fatin Shahira Ibrahim, 22, yang terpaksa berkorban melepaskan kerja sebagai kerani kontrak di sebuah agensi kerajaan di Petaling Jaya.

Nor Fatin berkata, dia sudah berhenti kerja sejak tujuh bulan lalu dan kembali ke kampung halaman di Kampung Laut 1, Tumpat bagi menjaga ibunya yang sebelum itu diserang angin ahmar dan tanggungjawabnya bertambah dengan kelahiran adik bongsunya.

“Tahun lalu mama diserang angin ahmar menjadikannya lumpuh sebelah kanan dan dia diminta menjalani proses ‘CT Scan’ untuk memeriksa darah beku di kepala.

“Ketika itu baharu diketahui mama mengandung dan usia kandungan sudah memasuki tiga bulan.

“Dalam tempoh mengandung, mama tiada komplikasi dan hanya sedikit kencing manis saja namun terpaksa diberi suntikan insulin..malah untuk masalah darah beku di bahagian kepala juga doktor memaklumkan ia stabil,” katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Nor Fatin berkata, semuanya berubah ketika proses melahirkan adik bongsunya berlaku banyak komplikasi malah kelahiran bayi perempuan itu terpaksa dilakukan melalui pembedahan.

“Doktor maklumkan otak ibu membengkak dan tidak dapat memberi jaminan bahawa akan pulih seperti sedia kala.

“Buat masa ini saya diibaratkan sebagai kakak dan ibu kepada Nor Amalina kerana dijaga sepenuhnya oleh saya.

“Walaupun mama tidak memberikan sebarang tindak balas tapi saya kerap berbual dengannya dan ada ketikanya meletakkan adik di sisi mama atau mendekatkan mereka dan tidak lama kemudian pasti air mata mama mengalir..mungkin sedih kerana tidak tidak dapat membelai adik,” katanya.

Mereka menerima kunjungan dari badan bukan kerajaan (NGO) Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) diketuai pengerusinya, Pui Tiong Lam yang menyampaikan sumbangan.

Tiong Lam berkata, seperti kebiasaan, pihaknya akan membantu memberikan lampin pakai buang dan susu khas setiap bulan bagi meringankan beban keluarga Norazlina.

“Suaminya hanya bekerja sebagai pemandu lori saja dan dia juga menghidap kencing manis maka perlu untuk kami dan sesiapa saja tampil membantu keluarga ini,” katanya.

Kepada mereka yang ingin membantu boleh berbuat demikian dengan menyalurkan bantuan menerusi akaun Maybank di bawah nama Nor Fatin Shahira Ibrahim iaitu 164165039410.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2019 @ 12:22 PM