NUR Sajat. FOTO arkib NSTP
NUR Sajat. FOTO arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim


Shah Alam: Polis yakin usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau dikenali Nur Sajat masih berada di luar negara selepas menghilangkan diri berikutan waran tangkap dikeluarkan mahkamah.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis menerima pelbagai maklumat daripada orang awam mengenai lokasi keberadaan Nur Sajat termasuk di Thailand.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat diperoleh, polis tidak menolak kemungkinan besar usahawan terbabit kini berada di luar negara.

"Bagaimana dia (Nur Sajat) berada di sana (luar negara), Wallahualam. Mungkin dia menggunakan kaedah tertentu yang membolehkan dia berada di luar negara. Apa sekali pun, kita (polis) tidak akan putus asa untuk mengesannya.

"Kita akan bantu mengikut kemampuan dan berusaha. Kalau subjek berada dalam negara, insya-Allah kita akan dapat jejak dan kesan. Sementara waktu ini, kita perlu bersabar dulu," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Acryl Sani berkata, sebarang maklumat dan petunjuk diperoleh akan diteliti untuk tindakan susulan.

"Maklumat ini macam-macam (diterima). Ada orang kata dia di Johor dan Kelantan. Jadi maklumat itu kita ambil tindakan dan jika betul akan dapat dikesan.

"Tapi apa yang berlaku, dia tiada di sana," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan, Sajat dipercayai sedang bersembunyi di Thailand selepas menghilangkan diri susulan waran tangkap dikeluarkan mahkamah.

Sajat dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir sebutan semula pertuduhan berpakaian wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Sebelum itu, Nur Sajat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Syarie Mohamad Khalid Shaee @ Shaii.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu dalam majlis bacaan Yasin dan solat hajat, pada 7.30 malam, 23 Februari 2018 di premis kecantikannya, Nursajat Beauticion, Jalan Serai Wangi G16/G, Seksyen 16, Shah Alam.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 April 2021 @ 2:22 PM