Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Subang Jaya: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berkongsi maklumat dengan agensi keselamatan lain mengenai usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat yang didakwa mungkin berada di luar negara.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah JIM Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, pihaknya tidak boleh mendedahkan maklumat itu berikutan enggan mengganggu siasatan.

"Kes dalam siasatan, (dan) kami sudah berkongsi maklumat dengan pihak yang berkaitan," katanya ketika ditemui selepas tamat Op Bersepadu di Bukit Puchong di sini, hari ini.

Media kelmarin melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kemungkinan Nur Sajat berada di luar negara dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihaknya sedang melakukan pemantauan rapi.

Muhammad Sajjad, 36, mencetuskan kontroversi baru-baru ini apabila memuat naik video mahu keluar daripada Islam, selepas menghilangkan diri susulan waran tangkap dikeluarkan mahkamah terhadapnya.

Ia berhubung kes dikendalikan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) mengikut Seksyen 10, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor.

Pada Januari lalu, Muhammad Sajjad mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan menyebabkan agama Islam dipandang hina dengan cara dirinya seorang lelaki yang berpakaian menyerupai wanita.

Bagaimanapun pada 23 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap ke atasnya kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kes itu tanpa sebarang sebab.

Gambar fail, Muhammad Sajjad atau Nur Sajat. FOTO NSTP.
Gambar fail, Muhammad Sajjad atau Nur Sajat. FOTO NSTP.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 April 2021 @ 8:19 AM