Muhammad Sajjad Kamaruzzaman.
Muhammad Sajjad Kamaruzzaman.
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Masih diselubungi misteri apabila Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) belum mengetahui lokasi sebenar persembunyian usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali Nur Sajat.

Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai lokasi persembunyian ahli perniagaan itu yang dikehendaki pihak berkuasa selepas waran tangkap dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada 23 Februari lalu.

"Secara rasmi, kita belum tahu di mana lokasi beliau," katanya ringkas ketika ditanya perkembangan terkini Muhammad Sajjad pada sidang media di sini, tadi.

Terdahulu, Dr Ahmad Shahir ditemui selepas penyerahan sumbangan pek makanan kepada petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Berlian, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, di sini.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya kepadanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengambil tindakan ke atas usahawan kosmetik itu.

"Kita serah perkara ini kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan dalam masa sama, menunggu perkembangan seterusnya mengenai Sajat," katanya.

Pada 23 Februari lalu, Muhammad Sajjad, 36, diburu pihak berkuasa selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan selepas gagal hadir sebutan semula pertuduhan berpakaian wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Sebelum ini, media melaporkan Nur Sajat didakwa sedang bersembunyi di Thailand selepas menghilangkan diri susulan waran tangkap berkenaan.

Terbaru, beliau dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes penipuan menukar maklumat kad pengenalan.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya memaklumkan Nur Sajat yang juga saksi dikehendaki hadir prosiding perbicaraan kes berkenaan di Mahkamah Ampang Jaya pada 14 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 5:25 PM