Anggota bomba membantu lelaki terjatuh dalam.lubang akibat mendapan di hadapan sebuah restoran di Taman Semarak. FOTO IHSAN BOMBA
Anggota bomba membantu lelaki terjatuh dalam.lubang akibat mendapan di hadapan sebuah restoran di Taman Semarak. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Lelaki patah kaki kiri selepas terjatuh dalam lubang berkedalaman kira-kira 1.8 meter apabila jalan mendap di hadapan sebuah restoran di Taman Semarak, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 10.02 pagi.

Beliau berkata, sepasukan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim bersama dua jentera diketuai K Chandran dihantar ke lokasi.

"Sebaik tiba didapati mangsa berusia 59 tahun dipercayai terperangkap dalam sebuah lubang sedalam 1.8 meter bersebelahan longkang.

"Mangsa patah kaki kiri kerana terjatuh akibat turapan jalan terbabit yang tiba-tiba mendap," katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya, mangsa diangkat menggunakan pengusung dan diberi rawatan awal sebelum dibawa ke hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 April 2021 @ 5:10 PM