PEKERJA asing jatuh dalam tangki sedalam 3.65 meter dikeluarkan anggota bomba. FOTO Ihsan Bomba.
PEKERJA asing jatuh dalam tangki sedalam 3.65 meter dikeluarkan anggota bomba. FOTO Ihsan Bomba.
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Pekerja kilang patah kaki dan bahu selepas terjatuh dalam tangki sedalam 3.65 meter di kawasan perindustrian Kulim Hi Tech, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hi Tech, Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata, panggilan kecemasan kejadian diterima pada 8.58 malam.

Katanya, pasukan diketuai Pegawai Bomba Kanan II Mat Puat Ghazali tiba ke lokasi bersama tujuh anggota dan turut dibantu dua anggota BBP Kulim.

"Setibanya di lokasi, didapati pekerja warga Bangladesh berusia 25 tahun masih berada di dalam tangki berkenaan dipercayai terjatuh dan mengalami patah kaki dan bahu.

"Anggota memberikan rawatan awal sebelum mengeluarkan mangsa dari tangki itu menggunakan 'rope rescue' dan pengusung," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kulim dan operasi tamat pada 10.21 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mac 2024 @ 11:39 PM