Anggota bomba memberi rawatan awal dan membantu membawa naik mangsa. FOTO Ihsan Bomba.
Anggota bomba memberi rawatan awal dan membantu membawa naik mangsa. FOTO Ihsan Bomba.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Lelaki parah selepas terjatuh ke dalam longkang ketika memanjat pokok mangga di Jalan Pandan Indah, Taman Pandan Indah, di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, kejadian pada 2.35 petang itu menyebabkan mangsa yang berusia 40-an parah di kepala selain patah kaki kiri.

"Mangsa sedang memanjat pokok mangga apabila satu dahan yang dipijak patah dan menyebabkan dia terjatuh.

"Dia jatuh ke dalam longkang berkedalaman empat meter dan parah di kepala dan patah kaki kiri,"katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, anggota penyelamat yang dihubungi bergegas ke lokasi kejadian dan membantu membawa naik mangsa.

"Mangsa dibawa ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Mei 2022 @ 5:05 PM