Pengerusi JPKK Klebang Besar, Datuk Mohd Yusof Abu Hassan (tengah berkopiah) bersama pengunjung yang mendapatkan pakaian percuma di Butik Rakyat, di Pulau Gadong, Melaka, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Pengerusi JPKK Klebang Besar, Datuk Mohd Yusof Abu Hassan (tengah berkopiah) bersama pengunjung yang mendapatkan pakaian percuma di Butik Rakyat, di Pulau Gadong, Melaka, hari ini. FOTO AMIR MAMAT
Amir Mamat


Melaka: Golongan kurang berkemampuan di negeri ini, khususnya di sekitar Klebang boleh mendapatkan pakaian berkualiti termasuk berjenama popular terpakai yang disediakan secara percuma di Pulau Gadong, di sini, bermula hari ini.

Untuk tahun kedua, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) menyediakan kemudahan berkenaan sebagai usaha membantu golongan tidak bernasib baik untuk menyambut ketibaan Aidilfitri, bulan depan.

Pengerusi JPKK Klebang Besar, Datuk Mohd Yusof Abu Hassan berkata, pakaian itu adalah sumbangan orang ramai untuk membantu golongan kekurangan pendapatan membuat persediaan menyambut hari raya.

"Setiap pakaian disumbangkan itu akan diperiksa terlebih dahulu oleh jawatankuasa khas untuk memastikan tiada kerosakan, sebelum dicuci dan diletakkan di Butik Rakyat.

"Setiap pengunjung boleh mendapatkan lima pasang pakaian sehari di sini dan ia percuma, bukan saja untuk penduduk Klebang, tetapi juga di sekitarnya," katanya ketika ditemui selepas meninjau suasana kehadiran pengunjung di Butik Rakyat, di sini, hari ini.

Sebanyak 5,000 helai pakaian pelbagai saiz dan jenama disediakan di Butik Rakyat untuk dihadiahkan kepada orang ramai.

Sementara itu, Mohd Yusof yang juga Pengerusi Pembela Klebang, berkata pihaknya akan menyediakan ruangan khas untuk sumbangan pakaian golongan ternama disumbangkan beberapa kenamaan termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Katanya, Sulaiman pada dasarnya sudah bersetuju untuk menyumbangkan beberapa pakaian yang pernah digunakan dalam urusan rasmi kerajaan kepada JPKK Klebang Besar untuk diletakkan di Butik Rakyat itu.

"Selain itu, beberapa Ahli EXCO negeri sudah menyatakan hasrat untuk berbuat demikian, sebagai usaha menggembirakan golongan kurang bernasib baik dalam menyambut perayaan besar umat Islam itu.

"Saya berterima kasih kepada semua penyumbang yang turut sama menjayakan program Butik Rakyat bagi tahun kedua ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 6:07 PM