ORANG ramai berkunjung ke Bazar Mega Klebang untuk membeli persiapan raya semalam.
ORANG ramai berkunjung ke Bazar Mega Klebang untuk membeli persiapan raya semalam.
Nur Saliawati Salberi


DENGAN jarak sejauh dua kilometer, Bazar Mega Klebang, di sini, menjadi bazar terpanjang di Malaysia termasuk tumpuan masyarakat membeli persiapan menjelang Aidilfitri.

Menempatkan 360 gerai dengan 400 peniaga, bazar berkenaan menjual pelbagai persiapan raya bukan sahaja baju Melayu dan kurung serta pakaian kanak-kanak, malah kelengkapan seperti bekas biskut dan juga pinggan mangkuk.

Penganjurnya, Mohd Nasir Mamat berkata, dengan kedudukan yang strategik dan kemudahan fasiliti, Bazar Mega Klebang menjadi tumpuan pelbagai lapisan masyarakat.

Beliau berkata, dijangka seramai satu juta pengunjung datang ke sana sehingga sehari sebelum Aidilfitri.

“Jarak bazar ini sejauh dua kilometer dan sehingga kini menjadi antara yang terpanjang di Malaysia selain dalam proses memohon pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR).

“Bagi memudahkan pengunjung yang datang, 1, 200 parkir kereta juga disediakan,” katanya.

360 gerai jual kelengkapan raya jadi tumpuan di Bazar Mega Klebang.
360 gerai jual kelengkapan raya jadi tumpuan di Bazar Mega Klebang.

Menurutnya, RM70,000 turut diperuntukkan pihaknya bagi hadiah cabutan bertuah menawarkan Perodua Axia, Modenas Kriss, basikal dan peralatan elektrik.

Pengunjung, Rohaida Mohd Salehan, 48, berkata, bagi merasai sendiri pengalaman beli-belah di Bazar Mega Klebang, dia bersama keluarga sanggup menempuh perjalanan dua jam dari Shah Alam, Selangor ke Melaka.

Dia yang juga seorang guru mengakui tertarik dengan kemeriahan bazar itu sebaik melihatnya tular di laman sosial Facebook apabila kebanyakan meninggalkan komen positif serta memberangsangkan.

“Memang banyak pilihan di sini sampaikan saya rambang mata untuk membuat pilihan dan ini pengalaman pertama ke bazar sebesar sebegini.

“Selain mempunyai banyak pilihan, harga ditawarkan berpatutan,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Abd Hafiz Sulaiman, 21, terkejut sebaik tiba di sini kerana terdapat banyak gerai jualan serta pilihan.

“Saya memang suka ke bazar seperti di Johor dan Kuala Lumpur, tetapi ini pertama kali merasai suasana sebegini,” katanya.

BAZAR berkenaan menjual pelbagai persiapan raya.
BAZAR berkenaan menjual pelbagai persiapan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2019 @ 4:00 AM