GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Mohd Amin Jalil

Seremban: Tindakan sebuah sekolah di Batu Pahat, Johor yang menetapkan syarat penyertaan aktiviti ko-kurikulum hanya terbuka kepada satu kaum sahaja bagi pelajar tingkatan satu dilihat bertentangan dengan Dasar dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan berkata, pihaknya kesal dengan tindakan berkenaan.

Katanya, tindakan seperti itu tidak wajar berlaku setelah lebih 60 tahun negara merdeka sedangkan Penyata Razak menyebut tujuan akhir pelajaran ialah menyatupadukan semua kaum melalui satu sistem pendidikan.

"Kami (i-Guru) tidak setuju dan kesal dengan tindakan sekolah terbabit menetapkan syarat penyertaan aktiviti ko-kurikulum hanya terbuka kepada satu kaum sahaja bagi pelajar tingkatan satu.

"Sukan adalah salah satu aktiviti ko-kurikulum yang bertujuan mewujudkan perpaduan kaum dan integrasi nasional.

"Malah menjadi salah satu aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 iaitu memupuk perpaduan di kalangan pelajar.

"Kementerian Pendidikan (KPM) harus mengambil langkah yang sewajarnya bagi menghentikan tindakan yang menjurus kepada polarisasi kaum," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai seorang pengguna Twitter mempersoalkan tindakan sekolah menengah itu dan memuat naik gambar sekeping surat mengandungi senarai kelab dan persatuan serta sukan yang didakwa terbuka untuk satu kaum saja.

Senarai itu antara lain menyatakan kelab Bahasa Cina hanya terbuka untuk pelajar kaum Cina saja, bola sepak (Melayu), bola keranjang (Cina), ping pong (Cina), bola jaring (Melayu) dan sepak takraw (Melayu).

Mohd Azizee berkata, sukan sewajarnya menjadi alat perpaduan bangsa dan elemen integrasi nasional.

Difahamkan, KPM sudah mengambil tindakan terhadap sekolah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 5:35 PM