SELAMAT meneliti majalah sekolah untuk melihat aktiviti RIMUP yang dijalankan.
SELAMAT meneliti majalah sekolah untuk melihat aktiviti RIMUP yang dijalankan.
Oleh Rabi ‘Atul ‘Adawiyah Ismail

Kuching: Bumi Kenyalang sememangnya terkenal dengan keharmonian masyarakatnya yang berbilang kaum dan menerusi Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) yang dilaksanakan di sekolah, semangat perpaduan itu semakin kukuh.

Perkara ini diakui Guru Penolong Kanan Pentadbiran yang juga Pemangku Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Demak Baru, Misia Zain yang mengakui RIMUP berjaya mengukuhkan perpaduan sedia ada dalam kalangan pelajar.

Menurutnya, sejak pelaksanaannya pada 2010, banyak kesan dilihat pada pelajar terutamanya dalam bidang akademik, sukan dan sosial.

“Di Sarawak, kami sudah lama mengamalkan konsep 1Malaysia dan perpaduan antara suku kaum yang ada di negeri ini. Setiap sekolah bukan saja terdiri daripada pelajar Melayu, Cina dan India, malah di sini ada Iban, Bidayuh, Melanau, Kelabit dan etnik lain.

“Namun, kami tidak memandang ringan kepada RIMUP kerana program ini berjaya mengukuhkan lagi perpaduan dan ia permulaan baik untuk pelajar sekolah,” katanya.

SMK Demak Baru diletakkan dalam satu kelompok untuk RIMUP bersama SMK St Mary dan SMK Bako. Setiap program dijalankan secara bergilir-gilir dengan penyertaan murid dari ketiga-tiga sekolah.

RIMUP adalah program menggalakkan pembabitan masyarakat setempat, guru dan kerjasama murid dalam kegiatan khas serta penggunaan bersama kemudahan, peralatan, penggemblengan tenaga dan kepakaran.

Matlamatnya melahirkan generasi Malaysia berilmu pengetahuan, memiliki jiwa, peribadi unggul, bersemangat muhibah dan mampu menghadapi cabaran secara kolektif dan bersepadu.

Sementara itu, Penolong Kanan Ko-Kurikulum, Selamat Masuni berkata, sejak lima tahun pelaksanaannya, hubungan pelajar semakin erat dan mereka menjadikan RIMUP medium berkenalan dengan pelajar sekolah lain, bertukar maklumat mengenai pelajaran, lebih menghormati antara satu sama lain serta peka dengan sensitiviti.

Dia yang juga pengelola RIMUP berkata, RIMUP banyak kelebihannya terutama dalam mengukuhkan perpaduan pelajar.

Pelajar berketurunan Iban, Shirina Anne Anak Sirai, 17, berkata, walaupun sibuk dengan persiapan menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia tidak mahu ketinggalan menyertai aktiviti RIMUP.

Katanya, dia tidak pernah menganggap RIMUP sebagai aktiviti membebankan, sebaliknya menyeronokkan.

“Antara aktiviti paling seronok ialah pertunjukan fesyen yang dianjurkan tahun lalu apabila kami berpeluang memperagakan pelbagai pakaian tradisional di Malaysia.

“Melalui pertunjukan fesyen ini, kami berpeluang mengetahui budaya dan adat kaum di negara ini,” katanya.

Pelajar berketurunan Melayu, Eqha Amyliea Sofea Piee, 17, berkata, pembabitan pelajar sekolah lain dalam RIMUP menambah kemeriahan aktiviti.

“Di sekolah ini, rakan sekelas terdiri daripada pelajar Iban dan Melayu, tetapi apabila menyertai RIMUP bersama SMK St Mary, saya berpeluang berkawan dengan pelajar daripada kaum Cina, Bidayuh dan kaum lain.

“Saya menyertai RIMUP sejak tingkatan satu dan setiap tahun tidak pernah terlepas menyertai aktiviti yang dianjurkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 5:19 AM