PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Mohd Amin Jalil


IKATAN Guru-Guru Muslim Malaysia (i-GURU) menyambut baik keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengemudi Kementerian Pendidikan selepas Dr Maszlee Malik meletakkan jawatan.

Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan berkata, pihaknya berharap usaha mereformasi dan memperkasa agenda pendidikan negara akan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berjaya mencapai matlamatnya.

Katanya, sistem pendidikan sedia ada jauh ketinggalan berbanding dengan negara maju dan ia menuntut perubahan yang drastik bagi menghadapi era digital dan cabaran Industri Revolusi 4.0 (IR4.0)

"Mengambil kira sikap dan ketokohan Dr Mahathir untuk melihat Malaysia setanding negara maju melalui penguasaan dalam bidang sains dan teknologi, kami berharap beliau dapat mempertahankan dasar pendidikan negara sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan.

"Beliau juga diharap dapat menangani beberapa isu seperti Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), pengekalan tulisan Jawi dan memartabatkan Bahasa Melayu.

"Kami berharap usaha reformasi ini mesti mendahulukan kepentingan pendidikan mengatasi kepentingan politik," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Azizee berkata, i-Guru tidak menolak usaha mengukuhkan penguasaan Sains dan Matematik sebagai langkah membina negara maju.

"Bagaimanapun dalam menjayakan agenda itu, jangan sampai kedudukan bahasa Melayu tergadai dan soal mengarus perdanakan pendidikan Islam di dalam sistem pendidikan negara dipinggirkan," tegasnya.

Beliau berharap Dr Mahathir dapat mempertimbangkan cadangan supaya mewujudkan sekolah satu aliran bagi membina sebuah bangsa yang bersatu padu selaras dengan semangat Penyata Razak 1956.

Jelasnya, pendekatan itu diyakini mampu mengukuhkan perpaduan kaum yang terheret dengan pelbagai isu perkauman.

"Mewujudkan sekolah satu aliran nasional menjadi penting ketika negara menebal dengan sentimen perkauman dan fahaman rasisme.

"Sewajarnya sistem pendidikan kita berasaskan satu kurikulum yang menyatukan semua kaum dengan satu bahasa pengantar bermula sejak peringkat sekolah rendah lagi," katanya.

Mohd Azizee yakin keazaman dan keupayaan Dr Mahathir, akan menjadikan sistem pendidikan negara setanding dan seiring dengan kemajuan globalisasi industri dunia tanpa menghakis jatidiri bangsa, bagi memenuhi keperluan negara pada masa akan datang.

"I-Guru akan terus menyokong usaha-usaha ke arah memartabatkan sistem pendidikan negara dan berharap pihak kementerian bersikap inklusif untuk menjayakan hasrat berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 January 2020 @ 4:33 PM