(Gambar hiasan) Ko-kurikulum pakaian seragam boleh membantu meningkatkan disiplin murid dan pelajar sekolah.
(Gambar hiasan) Ko-kurikulum pakaian seragam boleh membantu meningkatkan disiplin murid dan pelajar sekolah.
Rudy Syareme Sheriffudin


JABATAN Pendidikan Negeri Pulau Pinang mahu pihak sekolah dan ibu bapa bekerjasama dalam usaha membentuk sahsiah pelajar supaya lebih berdisiplin dan bertanggungjawab serta menjadi kebanggaan keluarga dalam akademik dan ko-kurikulum.

Pengarah Pendidikan negeri Shaari Osman berkata, pihaknya memandang serius masalah disiplin dalam kalangan pelajar dan kerjasama dua pihak adalah landasan terbaik membentuk keyakinan diri mereka melalui pembabitan aktiviti ko-kurikulum.

Beliau berkata, tumpuan utama bukan sahaja terletak pada bidang akademik semata-mata malah aktiviti ko-kurikulum adalah jalan terbaik pembentukan pelajar agar lebih berdisiplin, bertanggungjawab dan mampu membuat keputusan terbaik dalam menjana hala tuju masa depan.

Katanya, sokongan dan dorongan terhadap anak dilihat satu langkah bijak bukan sahaja kejayaan mampu dicapai di peringkat sekolah malah mereka mampu mencipta nama ke peringkat antarabangsa melalui aktiviti ko-kurikulum di luar negara.

“Kita percaya pembentukan jati diri 250,000 pelajar di negeri ini mampu dilakukan dengan adanya kerjasama ini selain pembabitan pelajar dalam pasukan beruniform antara langkah terbaik pembentukan disiplin pelajar sebagai langkah awal.

“Ibu bapa dan guru perlu bergandingan bahu serta mengambil sikap ambil tahu pelajar baik di sekolah mahupun di rumah bagi mengelak mereka merasa terbiar atau tersisih malah pemberian atau pengiktirafan seperti hadiah dilihat satu langkah terbaik supaya mereka belajar dengan lebih bersungguh-sungguh," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Anugerah Kecemerlangan Ko-Kurikulum Peringkat Negeri Pulau Pinang 2017 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Perempuan Al-Mashoor di Georgetown, hari ini.

Shaari berkata, tiada sebab untuk mana-mana pihak menuding jari antara satu sama lain sekiranya kerjasama itu tidak dilaksanakan, malah pihaknya turut menetapkan penunjuk prestasi utama (KPI) di semua sekolah dalam usaha menarik lebih ramai ibu bapa ke sekolah.

Beliau berkata, penetapan itu bagi memastikan ibu bapa dan guru mampu memberi kerjasama baik sewaktu menghantar anak sekolah malah menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Hari Kecemerlangan Sukan dan Pelajar dan lain-lain.

"Kita ingin tarik lebih ramai ibu bapa ke sekolah selain bertukar-tukar maklumat baik dari segi prestasi pelajaran anak dan aktiviti ko-kurikulum dan pihak sekolah juga perlu lebih maju ke hadapan untuk melaksanakan transformasi pendidikan di dalam kelas agar lebih mantap.

“Pengiktirafan kepada pelajar melalui hadiah atau anugerah diberikan guru dan sekolah adalah langkah bijak menjadikan pelajar lebih berdisiplin dan bertanggungjawab daripada mengenakan tindakan denda yang seringkali disalahertikan ibu bapa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 Oktober 2017 @ 4:09 PM