FOTO hiasan
FOTO hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin
nurul.hidayah@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menggesa kerajaan supaya terus mengutamakan guru dalam program Vaksinisasi Fasa 2.

Presiden iGuru Mohd Azizee Hasan berkata, tindakan itu adalah selaras dengan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memaklumkan terdapat 41 kluster jangkitan dari institusi pendidikan sejak Januari lalu.

"Justeru, kami menggesa suntikan vaksin ini tidak terhad kepada guru bertugas di sekolah KPM tetapi diperluaskan ke sekolah mengguna pakai kurikulum KPM seperti sekolah agama rakyat (SAR), Kolej Genius, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sekolah swasta dan tahfiz berdaftar di bawah KPM.

"Hal ini penting memandangkan sesi pembukaan persekolahan pada awal April nanti akan membabitkan pelajar tingkatan 1 hingga tingkatan 5 sesi 2021," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azizee berkata, pihaknya merayu dan menggesa KPM supaya memberikan keutamaan kepada guru kerana mereka adalah barisan hadapan utama dalam bidang pendidikan.

"Keselamatan serta kesihatan guru akan menjamin kelancaran sesi persekolahan dan menjamin murid-murid sentiasa dalam keadaan selamat.

"Langkah memperluaskan program vaksinisasi ini akan mengurangkan risiko keciciran murid dan penutupan sekolah jika berlaku sebarang jangkitan.

"iGuru berharap keprihatinan pihak kerajaan berkaitan perkara ini adalah bukti komitmen kerajaan untuk melihat persekitaran institusi pendidikan menjadi lebih selamat dan masa depan pendidikan negara menjadi lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 7:47 PM