GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Hasrat seorang wanita mahu memulakan perniagaan hub penghantaran barang secara francais dengan sebuah syarikat antarabangsa tidak menjadi kenyataan apabila dia ditipu sehingga menyebabkan kerugian RM15,000.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, suspek berusia 41 tahun itu pada awalnya mendapat maklumat perniagaan daripada sebuah laman web syarikat penghantaran.

Beliau berkata, mangsa kemudian berkomunikasi dengan beberapa individu menerusi nombor telefon tertera pada laman web berkenaan pada 5 April lalu.

"Mangsa kemudian berurusan dengan individu bernama Federick di talian 013-2100283 bagi mendapatkan perincian lanjut mengenai perniagaan itu.

"Mangsa turut diberi penerangan mengenai perniagaan sebelum diminta membuat bayaran pendahuluan bagi mengesahkan urusan perniagaan itu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Hoo berkata, mangsa yang percaya kemudian melakukan transaksi berjumlah RM15,000 ke dalam satu akaun bagi deposit urusan perniagaan itu.

Katanya, selepas transaksi deposit berjaya dilakukan, mangsa diminta membuat pelbagai bayaran lain, namun dia tidak bersetuju.

"Mangsa yang berasa ditipu pergi ke ibu pejabat syarikat seperti tertera di laman web berkenaan di Petaling Jaya bagi mendapatkan maklumat mengenai urus niaga yang mahu dijalankan.

"Bagaimanapun, syarikat itu memberi maklum balas, tiada kebenaran diberikan kepada syarikat atau individu lain untuk mengambil wang bagi urusan perniagaan francais selain hanya melalui syarikat berkenaan sahaja.

"Mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Batu Kikir pada Khamis lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati laman web berkenaan adalah sah dan milik syarikat terbabit.

Menurutnya, mangsa dipercayai membuat urusan berdasarkan menerusi pautan satu syarikat lain yang ada pada laman web syarikat itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 April 2021 @ 3:35 PM