Gambar hiasan
Gambar hiasan
Abnor Hamizam Abd

Jempol: Dua individu, masing-masing kerugian RM6,000 dan RM2,589 selepas menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud dalam kejadian yang dilaporkan pada 3 dan 4 November lalu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata seorang pesara tentera berusia 39 tahun kerugian RM6,000 selepas tertarik mengenai tawaran pinjaman peribadi di Facebook.

Katanya mangsa kemudian menghubungi seorang wanita dikenali Jenifer Wong bagi membuat pinjaman berjumlah RM20,000.

"Mangsa kemudian diarahkan memasukkan sejumlah wang bagi urusan pinjaman dan membuat enam kali pembayaran secara dalam talian pada 3 dan 4 November.

"Mangsa menyedari ditipu selepas diminta membuat pembayaran tambahan RM2,000 bagi membuka akaun pinjaman berkenaan manakala semakan polis mendapati sudah ada rekod penipuan daripada akaun bank berkenaan," katanya.

Dalam kejadian berasingan, Hoo berkata seorang pekerja farmasi berusia 30 tahun turut menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud selepas berurusan dengan syarikat dari Klang, Selangor yang ditemui melalui di carian Google.

Katanya, mangsa yang berminat membuat pinjaman peribadi berjumlah RM5,000 berhubung dengan seorang wanita sebelum diarahkan membuat pembayaran bagi memproses pinjaman.

"Pada 4 November, mangsa membuat pembayaran secara dalam talian ke atas dua akaun bank berjumlah RM2,589 sebelum diarahkan memasukkan RM1,800 namun tidak diendahkan mangsa yang menyedari sudah ditipu.

"Kedua-dua mangsa membuat laporan di Balai Polis Bandar Seri Jempol dan Batu Kikir dan polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya,

Hoo berkata orang ramai boleh melayari laman web https://ccid.rmp.gov.my/semakmule bagi menyemak nombor akaun bank atau nombor telefon scammer secara dalam talian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 10:49 AM