GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Abnor Hamizam Abd Manap


Jempol: Ibu tunggal kerugian RM17,800 selepas menjadi mangsa penipuan pinjaman tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, mangsa berusia 28 yang menjalankan perniagaan dalam talian ternampak iklan pinjaman peribadi menerusi sebuah syarikat ketika melayari Facebook di rumahnya pada 10.30 pagi, Khamis lalu.

Katanya, mangsa berminat membuat pinjaman berjumlah RM10,000 sebelum menekan pautan yang diberikan.

"Beberapa minit kemudian, mangsa menerima satu mesej menerusi aplikasi WhatsApp dan dimaklumkan perlu membayar RM1,000 bagi urusan pinjaman.

"Mangsa kemudian membuat pembayaran secara dalam talian ke dalam akaun bank milik seorang lelaki," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hoo berkata, mangsa kemudian diminta memasukkan RM2,000 lagi bagi urusan insuran dan mangsa turut membuat pembayaran ke dalam akaun bank atas nama lelaki lain.

Bagaimanapun, katanya, dia sekali lagi diminta membuat pembayaran RM2,800 ke dalam akaun sama.

"Mangsa belum menyedari menjadi mangsa penipuan dan sekali lagi diminta membayar RM4,000 selepas dimaklumkan sistem yang memproses pinjaman mangsa mempunyai masalah.

"Suspek yang seronok selepas menyedari mangsa mudah ditipu sekali diminta membuat pembayaran dan mangsa melakukan dua kali pembayaran membabitkan jumlah RM8,000," katanya.

Bagaimanapun, Hoo berkata, permintaan suspek meminta bayaran sebanyak RM5,000 bagi urusan cukai pendapatan tidak dilayan selepas menyedari menjadi mangsa penipuan.

Beliau berkata, mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Bahau dan kes disiasat siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 November 2021 @ 9:23 AM