NURSYAFIERA (kanan) bersama ibunya, Maznah. Gambar kanan, Dzihni menghidap kecacatan septum ventrikel (VSD) perlu menjalani pembedahan segera di Hospital Gleneagles. FOTO Saifullizan Tamadi
NURSYAFIERA (kanan) bersama ibunya, Maznah. Gambar kanan, Dzihni menghidap kecacatan septum ventrikel (VSD) perlu menjalani pembedahan segera di Hospital Gleneagles. FOTO Saifullizan Tamadi
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia dua dan tujuh tahun memerlukan bantuan orang ramai bagi membolehkan mereka menjalani pembedahan jantung membabitkan kos keseluruhan berjumlah RM120,000.

Dzihni Keysha Humaira Hamidon dan Nursyafiera Nadhia Osman yang menghidap kecacatan septum ventrikel (VSD) perlu menjalani pembedahan segera di Hospital Gleneagles, di sini.

Menceritakan penyakit dihidapi Dzihni, ibunya Zuhaina Zulkamal, 44, berkata, anak bongsu daripada lima beradik itu dikesan mengalami jantung berlubang dan masalah saluran darah ke paru-paru sebaik dilahirkan pada 25 Oktober 2019.

Suri rumah itu berkata, disebabkan masalah terbabit, Dzihni menjadi lemah kerana kekurangan oksigen dan memerlukan pemantauan doktor selain terpaksa dibedah ketika berusia sebulan.

"Selepas pembedahan itu, anak saya masih dipantau oleh doktor dan perlu makan ubat setiap hari.

"Dzihni memerlukan pembedahan susulan segera di bahagian saluran jantung supaya badannya dapat menerima oksigen yang cukup.

"Selepas itu, Dzihni perlu menjalani pembedahan kali ketiga iaitu terakhir apabila menjangkau usia empat tahun," katanya.

Zuhaina berkata, dia yang tidak bekerja dan suaminya, Hamidon Abidin, 44, yang hanya mengambil upah memotong rumput dengan pendapatan rendah tidak mampu untuk menyediakan kos pembedahan berjumlah RM60,000.

Sementara itu, ibu Nursyafiera, Maznah Mohamed, 49, berkata, anaknya yang juga sindrom down memerlukan kos pembedahan berjumlah RM60,000.

Dia yang menetap di Tanah Merah, Kelantan berkata, pendapatannya sebagai penoreh getah sebanyak RM450 sebulan tidak mampu untuk menampung kos berkenaan.

"Suami sudah meninggal dunia lima tahun lalu dan saya membesarkan empat anak sendirian ketika itu. Apabila musim tengkujuh, saya tidak dapat keluar menoreh dan tiada pendapatan.

"Kini saya bersyukur dua anak sudah bekerja tetapi pendapatan mereka juga hanya cukup untuk menampung kehidupan harian kami. Seorang lagi tidak bekerja kerana menjaga Nursyafiera," katanya.

Menurutnya, dia berharap ada pihak dapat menghulurkan bantuan bagi menampung kos pembedahan anak istimewanya itu.

Orang ramai yang ingin membantu mereka boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk wang tunai atau cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP.

Sumbangan boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat, Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Empat, Anjung Riong, Balai Berita, 31, Jalan Riong, 59100, Bangsar, Kuala Lumpur.

Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun bank Tabung Kemanusiaan Media Prima-NSTP yang menggunakan akaun Maybank, 514105323170.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 April 2021 @ 1:58 PM