SIEW Zheng You memerlukan bantuan kewangan RM 80,000 bagi menampung kos pembedahan di Gleneagles Kuala Lumpur. FOTO Rohanis Shukri
SIEW Zheng You memerlukan bantuan kewangan RM 80,000 bagi menampung kos pembedahan di Gleneagles Kuala Lumpur. FOTO Rohanis Shukri
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Baru berusia empat bulan, namun Siew Zheng You sudah menanggung penderitaan apabila saluran jantungnya terbalik selain berlubang.

Zheng You menghidap komplikasi penyakit jantung ketika berusia tiga bulan dan mempunyai hayat selama setahun jika pembedahan segera tidak dijalankan.

Bapanya, Siew Kim Lin, 36, berkata dia sedih memikirkan masa depan anaknya kerana tidak mampu untuk menyediakan kos pembedahan mencecah RM80,000.

Kim Lin yang menetap bersama ibunya di Bandar Damai Perdana, di sini, buntu memikirkan kos pembedahan yang tinggi kerana hanya bekerja sebagai tukang kayu dengan pendapatan kira-kira RM2,000 sebulan, manakala isterinya suri rumah.

Menurut bapa kepada tiga anak itu, anak bongsunya dilahirkan normal, malah isterinya juga tidak mengalami masalah ketika mengandungkan Zheng You.

"Bagaimanapun, saya dan isteri nampak perubahan bayi kami selepas dia (Zheng You) demam dan sesak nafas selain badan bertukar kebiruan.

"Saya membawanya ke klinik berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Kajang untuk pemeriksaan lanjut. Namun, doktor mengesan bayi saya ada masalah kesihatan lalu dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi pemeriksaan rapi.

"Doktor memberitahu anak saya mengalami komplikasi jantung dan perlu menjalani pembedahan segera di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Berikutan itu, Kim Lin merayu sumbangan orang ramai bagi menampung kos pembedahan anaknya supaya dapat membesar seperti kanak-kanak lain.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk wang tunai atau cek dengan menulis nama pesakit di belakang cek kepada Tabung Kemanusiaan MEDIA PRIMA-NSTP.

Sumbangan boleh dialamatkan kepada Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Media Prima Berhad, Tingkat Empat, Anjung Riong, Balai Berita, 31 Jalan Riong, 59100 Bangsar, Kuala Lumpur.

Sumbangan juga boleh disalurkan menerusi akaun bank Tabung Kemanusiaan MEDIA PRIMA-NSTP (Maybank 514105323170).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 1:24 PM