Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 36, atau Sajat yang menghilangkan diri susulan waran tangkap dikeluarkan mahkamah terhadapnya, disyorkan supaya tampil membuat perbincangan dengan pihak berkuasa agama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, ia bagi merungkai masalah dan kekeliruan yang timbul.

"Saya syorkan (Sajat) bertemu dengan pihak berkuasa terutamanya majlis agama begitu juga pejabat agama di Selangor.

"Bincang dengan baik apa yang menjadi masalah dan apa yang menjadi kekeliruan.

"Dengan cara ini, Insha-Allah saya harap perkara (masalah Sajat) ini dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Zulkifli berkata demikian ketika diminta memberi nasihat kepada Sajat yang kini dalam buruan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (Jais).

Dr Zulkifli meminta Sajat tampil berbincang dengan pihak berkuasa agama. FOTO arkib NSTP
Dr Zulkifli meminta Sajat tampil berbincang dengan pihak berkuasa agama. FOTO arkib NSTP

Difahamkan, Sajat dipercayai sedang bersembunyi di Thailand selepas menghilangkan diri susulan waran tangkap dikeluarkan mahkamah.

Usahawan kosmetik yang sering mencetuskan kontroversi itu dikenakan waran tangkap selepas gagal hadir sebutan semula pertuduhan berpakaian wanita di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, Selangor.

Muhammad Sajjad mencetuskan kontroversi lagi baru-baru ini apabila memuat naik video mahu keluar daripada Islam selepas menghilangkan diri susulan waran tangkap dikeluarkan mahkamah terhadapnya berhubung kes dikendalikan Jais mengikut Seksyen 10, Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor.

Pada 6 Januari lalu, Nur Sajat mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Syarie Mohamad Khalid SHaee @ Shaii.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu dalam majlis bacaan Yasin dan solat hajat, pada 7.30 malam, 23 Februari 2018 di premis kecantikannya, Nursajat Beauticion, Jalan Serai Wangi G16/G, Seksyen 16, Shah Alam.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 yang memperuntukkan hukuman tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berita berkaitan

Sajat bersembunyi di Thailand

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 11:58 AM