SERAMAI 35 individu ditahan dan dikompaun kerana melanggar PKPP dalam serbuan Op Parti Liar di sebuah rumah di Hutan Kampung. FOTO ihsan PDRM
SERAMAI 35 individu ditahan dan dikompaun kerana melanggar PKPP dalam serbuan Op Parti Liar di sebuah rumah di Hutan Kampung. FOTO ihsan PDRM
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Tindakan 35 individu termasuk remaja bawah umur berkumpul dan berhibur di sebuah rumah di Taman Andalas, Jalan Hutan Kampung di sini, mengundang padah apabila mereka ditahan polis dalam Op Parti Liar, pagi hari ini.

Kesemua mereka juga didapati ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) apabila berkumpul di sebuah rumah dalam jumlah yang ramai.

Serbuan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar diketuai Asisten Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim.

Dalam serbuan itu, 24 daripadanya adalah lelaki dan selebihnya wanita yang berusia antara 16 hingga 26 tahun.

Ketika serbuan dilakukan pada 3.30 pagi itu, kesemua mereka sedang berhibur dengan memasang muzik dengan kuat dan khayal dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, seramai 28 individu terbabit didapati positif dadah ketamin dan methamphetamine.

Menurutnya, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Empat daripada mereka turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 kerana memiliki dadah.

"Kesemua 35 individu itu dikenakan kompaun mengikut Seksyen 22(b) Akta 342 dan Peraturan-peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Shukri berkata, kesemua mereka kemudiannya dibawa ke IPD Kota Setar untuk dibuat laporan dan tindakan lanjut.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 April 2021 @ 7:13 PM