ANTARA dadah dan air ketum yang dirampas. FOTO ihsan polis
ANTARA dadah dan air ketum yang dirampas. FOTO ihsan polis
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Polis merampas pelbagai jenis dadah dan menahan 41 individu ketika operasi mensasarkan kawasan jeti serta pesisiran pantai yang menjadi sarang dadah di daerah ini, 18 hingga 20 April lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, tujuan utama operasi khas ini adalah mensasarkan kawasan jeti haram dan port aktif yang dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

"Operasi itu mensasarkan pemeriksaan di kawasan jeti-jeti nelayan pesisiran pantai di samping kawasan sekitar yang menjadi tumpuan pengedar dan penagih dadah," katanya.

Beliau berkata, sepanjang operasi itu, 51 serbuan dan 88 pemeriksaan dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson bersama-sama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Negeri Sembilan.

"Polis berjaya merampas dadah jenis Shabu anggaran berat 16.32 gram, Heroin anggaran berat 0.75 gram dan air ketum anggaran 4.5 liter," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Polis turut menahan 41 orang berusia 20 tahun hingga 61 tahun termasuk dua wanita.

"Kesemua mereka ini dipercayai terbabit dengan pengedaran, memiliki dan penyalahgunaan dadah dan racun dan disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Akta Racun 1952 membabitkan Seksyen 39A (1) ADB 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952, Seksyen 15 (1)(A) ADB 1952 dan Seksyen 303, Akta Racun 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 11:49 AM