Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Sanggup menyewa bilik hotel di bandar raya ini berharga RM500 semalam untuk berpesta kononnya mampu memperdayakan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, taktik empat lelaki dan dua perempuan termasuk remaja bawah umur mengundang padah apabila bilik terbabit diserbu pihak polis ketika mereka sedang tidur kira-kira 6 pagi tadi.

Difahamkan, remaja perempuan berusia 17 tahun itu ditahan buat kali ketiga kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Malah, bilik itu turut dijadikan 'disko' dengan bunyian muzik melalui radio yang dibawa selain penemuan beberapa peket kecil pil dipercayai dadah di dalam bilik berkenaan.

Operasi dilakukan oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar diketuai Asisten Superintendan Mohd Radzi Abdul Rahim.

Kesemua lelaki dan perempuan itu ditahan kerana dipercayai terbabit dalam penyalahgunaan dadah selain melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Remaja perempuan yang menetap, di sini, turut memberi alasan dia menyewa bilik itu seorang diri sebelum rakan perempuannya datang dari Gurun bersama tunangnya.

Katanya, tiga rakan lelaki yang lain menyusul kemudian dan mendakwa turut mengambil dadah.

"Saya sudah lama tak pergi sekolah dan mak bapa saya tak tahu hal ini kerana kami ada masalah.

"Saya ambil dadah sebab ikut rakan-rakan dan saya yang sewa bilik ini tapi guna nama orang lain ketika mendaftar," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan, di sini.

ENAM individu ditahan polis dalam serbuan di sebuah hotel disyaki terbabit dengan dadah dan melanggar PKPP.FOTO Zuliaty Zulkiffli
ENAM individu ditahan polis dalam serbuan di sebuah hotel disyaki terbabit dengan dadah dan melanggar PKPP.FOTO Zuliaty Zulkiffli

Dalam pada itu, rakan wanitanya berusia 21 tahun berkata, dia datang ke hotel itu bersama tunangnya berusia 19 tahun dan menafikan kehadiran mereka untuk berhibur.

Dakwanya, dia dan tunangnya yang juga tukang rumah itu bakal berkahwin bulan depan dan datang ke bilik itu hanya untuk melepak.

"Saya harap keluarga tak tahu hal ini kerana saya pun hanya berniaga secara dalam talian," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Noor Azman Mohd Noor berkata, saringan ujian air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis ketamin dan amphetamine.

Beliau berkata, mereka yang berusia 17 hingga 24 tahun akan disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Selain itu, mereka turut dikenakan tindakan kerana melanggar PKPP mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 4:40 PM