Zuliaty Zulkiffli

Sungai Petani: Lelaki dipercayai 'tokan dadah' dan dikehendaki polis di daerah Kota Setar atas kesalahan dadah, memberi alasan berpindah ke daerah ini sekadar untuk mencuba nasib untuk menjalankan kegiatan sama.

Bagaimanapun, perbuatannya itu dikesan pihak berkuasa selepas dia diberkas polis dalam operasi Op Tapis, semalam.

Lelaki berusia 32 tahun itu mendakwa baru menjalankan kegiatan itu sejak dua bulan lalu dan menyewa rumah di Taman Bandar Mutiara di sini, untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah.

Modus operandi suspek adalah dia hanya akan keluar menjual dadah apabila ada pelanggan menghubunginya dan menjual secara pandu lalu di rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, dalam serbuan 11 pagi itu, suspek ditahan bersama dua lelaki berusia 24 dan 26 tahun yang dipercayai penagih dadah.

Beliau berkata, selain itu, anggotanya merampas satu paket heroin anggaran berat 46.14 gram dan tiga paket syabu dianggarkan berat 1.55 gram yang dimiliki suspek.

"Dia ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12(2) akta sama.

"Kita percaya dia menjalankan aktiviti pengedaran dadah di daerah ini kira-kira dua bulan dan berpindah dari Alor Setar ke sini dan perpindahan itu disebabkan dia dikehendaki polis di Alor Setar," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda di sini, hari ini.

Dalam operasi itu, Zaidy berkata, 17 lelaki dipercayai penagih dadah ditahan di dua lokasi iaitu di Taman Bandar Mutiara dan Flat Paya Nahu.

"Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 15(1) (a) ADB 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2024 @ 9:34 AM
ZAIDY (tengah) melihat sebahagian penagih dadah yang ditahan dalam operasi Op Tapis di daerah Kuala Muda. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ZAIDY (tengah) melihat sebahagian penagih dadah yang ditahan dalam operasi Op Tapis di daerah Kuala Muda. FOTO Zuliaty Zulkiffli