FOTO Noorazura Abdul Rahman
FOTO Noorazura Abdul Rahman
Norul Awatif Romli


Alor Setar: Polis menahan lebih 300 penagih dadah termasuk 24 daripadanya pengedar dan merampas pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM50,000 menerusi 15 serbuan sempena Ops Sarang di sekitar daerah Kota Setar, bermula awal bulan ini sehingga semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Setar Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 20-an sehingga 30-an dengan sebahagiannya mempunyai rekod lama membabitkan penyalahgunaan dadah.

Katanya, serbuan dijalankan di enam kawasan membabitkan Alor Setar, Kuala Kedah, Pokok Sena, Jalan Langgar, Alor Janggus dan Anak Bukit berdasarkan maklumat awam serta risikan polis.

"Operasi dijalankan sepama 25 hari bermula 1 Mei lalu dan rampasan membabitkan dadah jenis heroin, syabu, ganja dan eramin 5.

"Setiap hari kita memeriksa sekurang-kurangnya 50 orang dan hasil pemeriksaan mendapati ada antara mereka bersabit kes Seksyen 39B Akta ADB 1952; Seksyen 39A ADB 1952; Seksyen 39A(1) ADB 1952; Seksyen 12(2) ADB 1952; dan Seksyen 6 ADB 1952," katanya pada sidang media di Bilik Media IPD Kota Setar, di sini, hari ini.

Manakala, dalam serbuan berasingan, Mohd Rozi berkata, pihaknya menahan dua lelaki yang juga jurujual di sebuah syarikat elektrik di Alor Setar selepas disyaki menjadi dalang kepada aktiviti penjualan barangan elektrik dan perabot curi di sekitar daerah ini.

"Kedua-dua suspek ditahan berusia 25 dan 30 tahun itu ditahan pada 18 Mei lalu selepas mengenai aktiviti menjalankan jualan murah barangan elektrik dan perabot yang dicuri di kedai majikan mereka sejak dua ke tiga bulan lalu.

"Sehingga kini 11 barangan elektrik membabitkan peti sejuk, televisyen dan mesin basuh berjaya di kesan di sekitar Pokok Sena, Kuala Nerang dan Yan, manakala baki 28 barangan masih belum dikenal pasti membabitkan nilai kerugian keseluruhan dianggarkan sebanyak RM20,000," katanya.

Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga hari ini bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 12:49 PM