Polis memeriksa bilik hotel yang dijadikan lokasi pesta liar di Kota Kinabalu pada Rabu lalu. Foto Ihsan PDRM
Polis memeriksa bilik hotel yang dijadikan lokasi pesta liar di Kota Kinabalu pada Rabu lalu. Foto Ihsan PDRM
Fardy Bungga


REMAJA perempuan berusia 16 tahun adalah antara 15 individu yang ditahan polis selepas didapati menyertai pesta liar di sebuah hotel di Kota Kinabalu pada Rabu lalu.

Dalam serbuan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu itu, semua individu terbabit dikesan berada dalam keadaan khayal dipercayai akibat pengambilan dadah.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, sepasukan pegawai dan anggota dikerah melakukan serbuan di hotel berkenaan selepas pihaknya menerima maklumat awam.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati tujuh lelaki berusia 24 hingga 29 tahun bersama lapan wanita berusia 16 hingga 23 tahun positif dadah jenis amphetamine, methamphetamine dan ketamin,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

George berkata, kesemua suspek ditahan mengikut Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Sementara itu, George berkata, bagi tempoh 7 September hingga semalam, sebanyak 19 serbuan dilakukan dalam Ops Sarang.

Menurutnya, seramai 65 individu ditahan dalam operasi itu, manakala sebanyak 30.16 gram dadah syabu dirampas.

“Semua individu ditahan mengikut Seksyen 39A(1) (ADB) 1952, diikuti Seksyen 12(2) ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(A) 1952.

“Ops sarang ini dijalankan secara berterusan di seluruh kawasan di daerah itu bagi tujuan untuk mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap bukan saja kepada sindiket pengedaran dadah tetapi juga penagih.

“Bagi mempertingkatkan lagi pembanterasan jenayah dadah, kerjasama orang awam juga diperlukan dengan menyalurkan maklumat ke IPD Kota Kinabalu ditalian 088-529220 atau ke akaun Facebook Polis Daerah Kota Kinabalu,” katanya

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 2:52 PM