Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Empat lokasi denai sungai di Negeri Sembilan sudah dikenal pasti untuk potensi dinaik taraf, tahun ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, empat lokasi sepanjang empat kilometer yang dilihat berpotensi untuk dinaik taraf dicadangkan merangkumi pembinaan trek pejalan kaki, trek basikal dan infrastruktur yang boleh dimanfaatkan orang ramai.

"Peruntukan bagi membiayai pembinaan denai dan kemudahan ini juga mendapat pembiayaan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Hari Air Sedunia 2021 peringkat Negeri Sembilan di Pengkalan Nelayan Kempas di sini, hari ini.

Katanya, Kuala Pilah, Jempol, Tampin dan Rembau sudah dikenal pasti mempunyai denai untuk dimajukan dan ia bagi memberi kesedaran untuk memulihara sumber air dan membantu ekosistem kerana air adalah sumber penting.

"Penekanan sumber air adalah elemen penting pembangunan negara yang juga untuk aspek alam sekitar," katanya.

Sehingga kini denai sungai sedia ada di negeri ini sepanjang 52.23 kilometer, katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Aminuddin berkata, baru-baru ini kerajaan Negeri Sembilan menulis surat kepada Melaka bagi memperhalusi semula projek Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) bernilai RM15 bilion sebelum menandatangani dan bersetuju berkaitan projek berkenaan.

AMINUDDIN (dua kiri) membersihkan sungai Linggi pada Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Sembilan di Pengkalan Kempas. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
AMINUDDIN (dua kiri) membersihkan sungai Linggi pada Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Sembilan di Pengkalan Kempas. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mac 2021 @ 3:41 PM