Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Teka-teki pengganti kerusi Parlimen Port Dickson yang sebelum ini disandang Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah terjawab malam ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun diumumkan calon Parlimen Port Dickson mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pengumuman itu dibuat Anwar dalam Program Jelajah Harapan Negeri Sembilan di Dataran Segar di sini, malam tadi.

Dalam ucapannya, Anwar berkata, dia terhutang budi kepada penduduk Port Dickson yang menerima beliau dengan baik sepanjang menjadi Ahli Parlimen Port Dickson.

"Dia (Aminuddin) orang sini, buat kerja baik, banyak bantu saya, orang Kampung Pachitan, Chuah dan dia calon sesuai untuk ganti saya di sini.

"Saya amat yakin dia akan jaga Port Dickson dengan baik kerana dia anak tempatan dan juga Menteri Besar Negeri Sembilan," katanya ketika ditemui di sini.

Aminuddin yang juga Naib Presiden PKR itu sudah dijangka menjadi calon di kawasan ini selepas menukarkan lokasi keahlian dari Tampin ke Port Dickson pada awal tahun ini.

Semalam, Anwar mengesahkan beliau akan bertanding di Parlimen Tambun, Perak.

ANWAR (dua dari kiri) bersama Aminuddin ( dua dari kanan) pada ceramah umum Jelajah Harapan Negeri Sembilan di Dataran Segar,Lukut. FOTO Azrul Edham.
ANWAR (dua dari kiri) bersama Aminuddin ( dua dari kanan) pada ceramah umum Jelajah Harapan Negeri Sembilan di Dataran Segar,Lukut. FOTO Azrul Edham.

Anwar berkata, dia yakin PH mampu mengekalkan kemenangan di Negeri Sembilan dan menang dengan bergaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Oktober 2022 @ 12:24 AM