Mohd Amin Jalil

Seremban: Tiga rakan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban di sini, hari ini atas tuduhan menyembunyikan wang milik orang lain dalam akaun bank masing-masing awal bulan ini.

Majistret Norzaliza Tesmin menjatuhkan hukuman denda RM34,000 terhadap Muhammad Anas Mohd Amir Nasharuddin, 21; RM24,000 ke atas Muhammad Syafirul Haidezeman dan RM16,000 terhadap Zulaikha Roslan, 22.

Bagaimanapun mereka gagal menjelaskan denda berkenaan dan dikenakan hukuman penjara masing-masing tiga tahun lapan bulan, dua tahun lapan bulan dan setahun lapan bulan.

Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Anas berdepan empat pertuduhan menolong menyembunyikan wang yang dimasukkan Mohammad Roslan Abd Manap, 57, ke dalam akaun Maybank miliknya.

Manakala Muhammad Syafirul berdepan tiga pertuduhan sama membabitkan jumlah RM80,000 dan Zulaikha dengan dua pertuduhan membabitkan jumlah RM60,000.

Semua kesalahan itu dilakukan mereka di Maybank Bandar Baru Nilai, dekat sini, pada 7 hingga 9 Julai 2021.

Berikutan itu, kesemua tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang mana sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.

Muhammad Anas (tengah), Muhammad Syafirul (dua dari kiri) dan Zulaikha (dua dari kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan menyembunyikan wang milik orang lain ke akaun mereka awal bulan ini. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Muhammad Anas (tengah), Muhammad Syafirul (dua dari kiri) dan Zulaikha (dua dari kanan) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan menyembunyikan wang milik orang lain ke akaun mereka awal bulan ini. FOTO AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Nur Amirah Syed Ahmad Yunus, manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini media melaporkan polis menahan empat individu termasuk seorang wanita dan remaja bagi membantu siasatan kes penipuan Macau Scam seorang juruteknik membabitkan kerugian RM470,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Ab Ghani, berkata tangkapan dibuat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai, Negeri Sembilan.

Aibee berkata, juruteknik berusia 57 tahun terbabit dikatakan terpedaya dengan ahli sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dengan memperkenalkan nama sebagai David Simon dan kemudian berurusan dengan individu lain dikenali sebagai Sarjan Sulaiman.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Julai 2021 @ 3:16 PM