Abnor Hamizam Abd Manap

JABATAN Pertanian Malaysia membangunkan Standard Durian Kampung Premium (DKP) sebagai panduan untuk membezakan durian kampung yang berkualiti kepada dua kategori iaitu DKP dan durian kampung gred rendah.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, panduan itu penting sebagai rujukan kepada petani, penjual dan masyarakat dalam mengenal pasti ciri-ciri DKP yang berkualiti selain mendapatkan harga yang setimpal.

Antara ciri-ciri DKP yang digariskan adalah buah bertangkai segar, buah bebas kotoran, buah bebas daripada busuk, reput dan tidak berpenyakit.

"Selain itu, DKP bebas daripada kecacatan, kerosakan akibat perubahan suhu tinggi atau rendah, buah berbentuk sempurna, isi berwarna krim atau kuning, ketebalan isi 10 milimeter serta isi rasa berlemak dan sedikit rasa pahit.

"Kualiti DKP menyamai durian klon yang lain seperti IOI dan Udang Merah, justeru harga DKP di pasaran seharusnya sama seperti durian klon yang lain," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Standard DKP di Kem Bukit Perjuangan, Chennah, Jelebu, hari ini.

AHMAD Hamzah (dua kiri) melihat pelbagai jenis durian kampung pada Program Walkabout dan Pelancaran Standard Durian Kampung Premium di Kem Bukit Perjuangan, Chennah. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
AHMAD Hamzah (dua kiri) melihat pelbagai jenis durian kampung pada Program Walkabout dan Pelancaran Standard Durian Kampung Premium di Kem Bukit Perjuangan, Chennah. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Bakri Sawir dan Ketua Pengarah Pertanian Mohd Nassir Warris.

Ahmad berkata, durian ketika ini menjadi sumber kekayaan baharu negara dan pada tahun lalu, eksport durian berjumlah RM400 juta.

"Bagi menghasilkan DKP, jabatan pertanian mengesyorkan supaya durian kampung gred rendah dibuat cantuman dewasa atau ditanam semula dengan jenis terpilih seperti Musang King.

"DKP akan turut dipromosikan ke luar negara seperti China dan Singapura," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Jun 2020 @ 3:18 PM