Mohd Amin Jalil

Seremban: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan mengeluarkan dua notis kepada pengimport dan peruncit atas kesalahan menjual bawang pada harga melampau.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan berkata, notis itu dikeluarkan minggu lalu kepada pengimport dan peruncit bawang di Seremban dan Port Dickson.

"Mereka didapati melakukan kesalahan membabitkan perkhidmatan mengelirukan, timbang dan sukat serta barang kawalan, yang menyalahi undang-undang.

"Pengimport dan peruncit berkenaan sudah diminta memberikan makluman balas terhadap notis yang dikemukakan dan siasatan lanjut akan dilakukan Unit Anti Pencatutan KPDNHEP Negeri Sembilan.

"Kementerian akan mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 sekiranya terdapat peniaga yang mengambil keuntungan yang berlebihan," katanya selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas 2020 Peringkat Negeri Sembilan di Seremban 2, di sini, tadi.

Turut hadir, Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna Aziz Zaman.

Dalam pada itu, Veerapan berkata, setakat ini KPDNHEP negeri tidak menerima aduan daripada pengguna membabitkan isu harga bawang India walaupun berlaku kenaikan mendadak.

Beliau berkata, peningkatan harga bawang mula dikesan sejak September lalu.

Menurutnya, bagaimanapun bekalan bawang berkenaan masih terkawal dan mencukupi di pasaran.

"Setakat ini kami tidak menerima aduan daripada pengguna berkaitan kekurangan bekalan bawang. Pemantauan sentiasa dibuat memastikan bekalan dan harga bawang di negeri ini sentiasa mencukupi dan berada pada paras yang berpatutan," katanya.

Sementara itu, Veerapan berkata, bekalan keperluan asas terutamanya bahan mentah dijamin mencukupi terutama bagi menampung keperluan sepanjang perayaan Krismas.

"Walaupun perayaan Krismas kali ini dirayakan secara sederhana kerana masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sesetengah tempat, namun terdapat permintaan terhadap barangan keperluan," katanya.

S. VEERAPAN (dua kiri) bersama Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna (kanan) ketika merasmikan Skim harga Maksimum Musim Perayaan Krismas Peringkat Negeri Sembilan. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
S. VEERAPAN (dua kiri) bersama Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Ain Arjuna (kanan) ketika merasmikan Skim harga Maksimum Musim Perayaan Krismas Peringkat Negeri Sembilan. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2020 @ 8:26 PM