GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Amin Jalil


Seremban: Maklumat di media sosial bakal menjadi perangkap kepada mereka yang cuba melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan mengambil peluang menziarah ketika Aidilfitri.

Ini kerana polis akan memantau sebarang maklumat menerusi hantaran yang dimuat naik individu terbabit.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusop berkata, pihaknya tidak akan terus memerhatikan gerak geri orang ramai yang mungkin mengambil peluang melakukan ziarah dan melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Kami memantau hantaran yang di muat naik di media sosial sekiranya ada antara mereka yang melanggar SOP sempena Hari Raya Aidilfitri. Kami tidak mahu mereka mengambil peluang untuk menziarah jiran atau keluarga.

"Bagaimanapun, hasil laporan daripada anggota saya mereka melihat tahap pematuhan rakyat di negeri ini tinggi dan saya tidak menerima mana-mana laporan mengenai SOP ketika solat sunat Aidilfitri, hari ini," katanya selepas lawatan dan menyampaikan sumbangan hari raya kepada petugas di sekatan jalan raya (SJR) Tol Senawang hari ini.

MOHAMAD (dua kiri) bersama anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) ketika meninjau sekatan jalan raya di Plaza Tol Senawang. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
MOHAMAD (dua kiri) bersama anggota Unit Ronda Bermotosikal (URB) ketika meninjau sekatan jalan raya di Plaza Tol Senawang. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin

Mohamad berkata, polis akan memantau rumah ke rumah bagi mengelakkan aktiviti ziarah-menziarahi.

"Saya mempunyai lebih 160 petugas yang akan melakukan pemantauan di kawasan perumahan terutama di taman-taman perumahan di negeri ini bagi memastikan rakyat mematuhi SOP ditetapkan," katanya.

Tambahnya, sehingga kini pihaknya mendapati terdapat penurunan pergerakan kenderaan di jalan raya di negeri ini.

"Setakat pagi ini, kami melihat keadaan mula lenggang dan terkawal.

"Saya nasihatkan sekiranya ada mana-mana rakyat di luar dari Seremban yang mahu ke daerah ini perlu mendapatkan kebenaran polis bagi mengelak dikenakan tindakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Mei 2021 @ 4:41 PM