FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memberi tempoh sehingga Mei ini kepada peniaga ayam di pasar awam bagi menyediakan penggunaan peti pendingin di premis masing-masing sebelum ia dikuatkuasakan.

Penangguhan itu diputuskan selepas MBPP mengambil maklum dengan aduan yang dihadapi peniaga ayam di kawasan itu.

Datuk Bandarnya, Yew Tung Seang berkata, sehingga kini seramai 100 peniaga ayam sudah bersetuju bagi menggunakan kaedah itu, manakala kira-kira 30 peniaga lagi sudah menggunakan kaedah terbabit di pasar awam.

"Kaedah ini sudah digunakan oleh kawasan yang mempunyai majlis bandaraya dan setakat ini MBPP adalah yang terakhir melakukannya.

"Sekiranya mereka gagal menyediakan peti pendingin pada tempoh yang ditetapkan, kita belum putuskan sebarang tindakan kerana tujuan MBPP ialah mahu mendidik dan memberi kesedaran mengenai kebersihan dan keselamatan makanan," katanya pada sidang media di Dewan Bandaraya Pulau Pinang, Jalan Padang Kota Lama di sini, hari ini.

Terdahulu, isu berkenaan mendapat bantahan peniaga ayam yang mendakwa kaedah penggunaan peti pendingin menyebabkan ayam yang disimpan tidak segar dan sukar dijual selain perlu mengeluarkan sejumlah wang bagi membeli peti berkenaan dengan harga RM3,000 ke atas.

Selain menimbulkan keraguan mengenai status halal ayam yang disembelih dan dibekalkan oleh pengedar ayam yang dilantik MBPP, peniaga juga mendakwa berlaku monopoli dalam perniagaan itu.

Penguatkuasaan yang sepatutnya dilaksanakan bermula 1 Mac lalu ditunda sehingga akhir Mei ini selepas MBPP mengadakan pertemuan dengan pelbagai pihak termasuk peniaga dan Gabungan Peniaga-Peniaga Ayam Pulau Pinang pada bulan lalu.

Mengulas lanjut Tung Seang berkata, kaedah berkenaan adalah bagi memastikan kebersihan dan keselamatan makanan yang dijual.

Katanya, ia boleh mengelakkan ayam yang disembelih daripada dihurung lalat, berbau busuk serta menjamin kualiti.

"Kita mempunyai seramai 177 peniaga ayam di pasar awam di bawah MBPP dan hanya ada empat pusat penyembelihan mendapat pensijilan Tanda Kesihatan Veterinar (VHM).

"Diharap dengan penjelasan itu dapat menghentikan keraguan dalam kalangan peniaga khususnya," katanya.

Difahamkan, MBPP turut memberi insentif sebanyak RM1,000 kepada peniaga awam yang membeli peti pendingin dengan mengemukakan resit bagi tuntutan.

Sementara itu, Pegawai Teknologi Makanan dan Pengurusan Halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAIPP) Nur Hanisah Othman berkata, jabatan itu berpuas hati dengan penjelasan MBPP mengenai isu penyembelihan dan penggunaan peti pendingin itu.

"Kaedah terbabit lebih menepati aspek halal dari segi penyembelihan dan penyimpanan ayam selepas ia disembelih," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Mac 2021 @ 5:25 PM