Orang ramai masih membanjiri Pasar Awam Air Itam biarpun arahan PKP dikeluarkan. FOTO NSTP.
Orang ramai masih membanjiri Pasar Awam Air Itam biarpun arahan PKP dikeluarkan. FOTO NSTP.
Zuhainy Zulkiffli


BERMULA esok, pemilik premis yang tidak mematuhi arahan perintah kawalan pergerakan (PKP) di Pulau Pinang akan dikenakan tindakan tegas termasuk disita dan penarikan lesen perniagaan.

Tindakan itu berkuatkuasa terhadap premis di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Datuk Bandar MBPP Datuk Yew Tung Seang berkata, keputusan itu diambil berikutan aduan orang ramai dan peniaga yang enggan memberi kerjasama dalam mematuhi arahan bagi mencegah penularan Covid-19.

Katanya, antara tindakan yang dikenakan ialah dengan penutupan premis, menyita barangan perniagaan atau menarik balik lesen perniagaan premis terbabit.

“Kita sudah memberi notis dan menasihatkan peniaga khususnya di kawasan yang boleh mengundang kumpulan orang ramai namun sekiranya mereka masih ingkar, premis mereka akan ditutup dan barangan akan disita.

“Sekiranya tetap tidak patuh, lesen perniagaan mereka akan ditarik balik dan laporan polis akan dibuat,” katanya dalam sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di Georgetown, hari ini.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Negeri Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo dan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Datuk Rozali Mohamud.

Mengulas lanjut, katanya, penjaja di empat pasar awam di Georgetown diperintahkan menutup perniagaan mereka, bermula esok.

Lokasi itu ialah di sekitar Pasar Awam Air Itam, Jelutong, Jalan Perak dan Bayan Baru yang masih lagi sesak dikunjungi orang ramai yang mahu membeli keperluan.

“Sehingga hari ketiga, sebanyak 1,834 premis di sini sudah diperiksa penguatkuasa MBPP. Pemantauan turut dibuat menerusi kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan lokasi yang masih menjadi tumpuan orang ramai,” katanya lagi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2020 @ 12:49 PM