GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Pemilik ladang dan peniaga durian dipelawa menyertai platform jualan dalam talian Jom Beli Online@MBPP (JBO@MBPP) bagi memudahkan penjualan buah bermusim itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif itu juga memudahkan orang ramai membeli dan mendapatkan raja buah terbabit sepanjang tempoh PKP.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Yew Tung Seang berkata, pengusaha dan peniaga juga digalakkan menyewa gerai di pasar awam dan kompleks di bawah MBPP di bahagian pulau negeri ini.

Katanya, selain menjalankan perniagaan secara hibrid menerusi platform itu, MBPP turut perkenal inisiatif lain termasuk berniaga dari ladang (BFF), berniaga dari kedai (BFS) dan berniaga dari gerai (BFG).

"Memandangkan musim durian sudah tiba, peniaga dan pemilik ladang durian digalakkan berniaga menerusi platform itu," katanya menerusi sidang media dalam talian di sini, hari ini.

Yew berkata, MBPP akan membuka pendaftaran bagi BFF, BFS dan BFG menerusi platform JBO@MBPP bermula esok bagi mengisi 74 gerai di pasar awam dan kompleks MBPP.

"Peniaga akan dikenakan kadar sewa RM85 seminggu termasuk caj bagi kutipan sampah atau sisa buah di gerai masing-masing," katanya.

JBO@MBPP adalah platform yang diperkenalkan MBPP sejak April tahun lalu semasa tempoh PKP 1.0 bagi membantu peniaga dan penjaja.

Platform berkenaan kini dinaik taraf dengan mempunyai empat kategori perniagaan iaitu keluaran pasar, makanan dan minuman (F&B), barangan am dan buah-buahan bermusim.

Peniaga yang memerlukan panduan dan nasihat mengenai penggunaan platform JBO@MBPP, boleh menghubungi pasukan transformasi digital MBPP, Sri Mageswari Pattel di talian 011-2651 6403.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut dan penyertaan boleh melayari laman web https://jbo.mbpp.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Mei 2021 @ 6:00 PM