YEW Tung Seang. FOTO arkib NSTP
YEW Tung Seang. FOTO arkib NSTP
Zuhainy Zulkiffli


MAJLIS Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memperkenalkan Kad Pergerakan PKP bagi kegunaan peniaga, penjaja dan penghantar makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Ia diperkenalkan bagi memantau serta menyelaras pergerakan peniaga dan penghantar makanan ke lokasi dalam radius 10 kilometer.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang berkata, bagaimanapun hanya peniaga dan penjaja berlesen saja yang dibenarkan memohon kad pergerakan itu bagi kegunaan mereka.

“Kad berkenaan juga boleh dipohon pengangkut atau penghantar barangan bekalan seperti makanan laut, barangan runcit, sayuran dan buah-buahan.

“Permohonan boleh dibuat menerusi laman web rasmi MBPP dan bayaran sebanyak RM5 akan dikenakan bagi mendapatkan kad terbabit,” katanya dalam sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), hari ini.

Yew berkata, bagi peniaga atau penjaja tidak berdaftar, mereka boleh menggunakan khidmat beberapa syarikat penghantar makanan yang beroperasi di sini.

Bagi penjual durian pula, mereka boleh melakukan jualan menerusi dalam talian atau secara borong.

“Peniaga kenderaan saji (food truck) tidak boleh memohon kerana perniagaan berkonsep itu tidak boleh beroperasi buat masa ini.

“Peniaga dan penghantar makanan digalakkan membuat ujian saringan kesihatan sendiri sebelum memulakan operasi,” katanya.

Terdahulu, MBPP turut memperkenalkan platform JBO@MBPP khusus bagi peniaga dan penjaja memasarkan produk mereka secara dalam talian selain memudahkan pembeli membuat pilihan.

Kaedah itu dilakukan supaya peniaga dan penjaja di negeri ini dapat menjana pendapatan berikutan tempoh PKP.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 April 2020 @ 1:12 PM