FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kelantan merekodkan tiga lagi kluster pendidikan membabitkan kakitangan dan pelajar sekolah hari ini.

Tiga kluster berkenaan adalah Kluster Jalan Hospital, Kluster Pulai Chondong dan Kluster Tangok.

Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan menerusi Facebook rasmi memaklumkan tiga kluster terbaru direkodkan dengan 290 kes Covid-19 dilaporkan hari ini.

Katanya, Kluster Jalan Hospital iaitu kluster sekolah atau institusi pendidikan membabitkan daerah Pasir Mas.

"Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-7245) dilaporkan positif Covid-19 pada 13 April lalu hasil saringan individu bergejala.

"Kluster ini membabitkan kakitangan dan pelajar sebuah sekolah yang terletak di Jalan Hospital, Kampung Kubang Terap. Sehingga kini, sejumlah 525 individu sudah disaring, di mana 50 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya.

Katanya, Kluster Pulai Chondong pula membabitkan tiga daerah iaitu Machang, Bachok dan Pasir Mas.

"Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-7862) dilaporkan positif Covid-19 pada 16 April hasil saringan individu bergejala.

"Kluster ini membabitkan kakitangan dan pelajar sebuah pusat pendidikan yang terletak di Pulai Chondong, Machang. Seramai 199 individu disaring, di mana 23 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya.

Sementara itu, Kluster Tangok pula membabitkan daerah Bachok, Kota Bharu, dan Machang di Kelantan.

"Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-7694) dilaporkan positif Covid-19 pada 15 April hasil saringan individu bergejala.

"Kluster ini membabitkan kakitangan sebuah institusi pendidikan yang terletak di Kampung Tangok, Bachok. Sejumlah 139 individu disaring, di mana 15 kes dikesan positif Covid-19 dalam kluster ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 April 2021 @ 9:19 PM